RM16 juta lambang kesatuan, kebersamaan rakyat Malaysia untuk Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekretariat #Aid4Palestine ingin menzahirkan rasa syukur atas kejayaan fasa pertama dalam misi menghantar bantuan kepada rakyat Palestin seperti yang dirancang sebelum ini.

“Apa yang lebih menggembirakan kami, jumlah kutipan yang berjaya dikutip melebihi sasaran awal kami iaitu RM1 juta. Alhamdulillah,” kata Pengerusi Sekretariat Aid4Palestine, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Untuk makluman, ujarnya bagi fasa pertama kempen #Aid4Palestine telah berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM16.8 juta.

- Advertisement -

Tambahnya, jumlah itu merangkumi sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, parti politik, NGO dan masyarakat awam.

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, katanya sumbangan terbesar yang diterima adalah daripada PASRelief, iaitu sebanyak RM12.1 juta.

Sehubungan, kata beliau Sekretariat #Aid4Palestin ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh pihak yang membantu untuk menjayakan misi fasa pertama khususnya para penyumbang.

“Kami memberikan jaminan bahawa sumbangan ini 100 peratus akan disalurkan kepada rakyat Palestin, insya-Allah.

“Kami juga mengharapkan usaha ini dapat diteruskan dengan lebih hebat melalui sumbangan fasa kedua yang aan berakhir 30 Syawal ini,” katanya dalam satu kenyataan media, malam ini.

Beliau berkata, kejayaan fasa pertama itu membuktikan bahawa perjuangan Palestin telah menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia.

Ini juga, tambahnya dapat dilihat melalui sumbangan yang telah diterima daripada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang agama, bangsa mahupun kedudukan.

“Lebih menyentuh hati, usaha ini turut disokong sepenuhnya oleh rakyat dalam kalangan pekebun, penoreh, peniaga jalanan, dan lain-lain yang mengerahkan segala kemampuan untuk menjayakan usaha ini,” ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat.

Katanya, Sekretariat Aid4Palestine ingin memaklumkan bahawa sumbangan fasa pertama telah mula disalurkan melalui Duta #Aid4Palestine yang telah dilantik iaitu Saudara Nadir Al-Nuri dan Abu Ayesh An-Najjar.

Menurutnya lagi, Sekretariat #Aid4Palestine akan sedaya upaya memastikan segala proses penyaluran sumbangan dilaksanakan dengan baik dan dilaporkan secara dekat dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, sebarang maklumat akan dilaporkan didalam saluran media rasmi #Aid4Palestine.

“Akhirnya, kami ingin menyeru kepada seluruh rakyat untuk terus menyalurkan bantuan bagi membantu perjuangan palestin, khususnya bagi menyokong usaha fasa kedua #Aid4Palestine yang sedang berlangsung.

“Teruskan juga mengikuti perkembangan terkini mengenai segala isu yang berlaku di bumi Palestin supaya semangat pembebasan Palestin tidak pudar. Doa kami, semoga segala usaha ini diberkati dan dirahmati Allah sentiasa. Amin,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/5/2021

- Advertisement -