Rakyat perlu sedar untuk jayakan self lockdown

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kempen self lockdown atau pergerakan kendiri hanya akan berjaya sekiranya rakyat dengan rela hati menyedari keperluan untuk duduk di rumah dan keluar sekiranya perlu bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, kerajaan sedang mempelbagaikan kaedah komunikasi agar mesej tahap serius pandemik ini difahami rakyat, dalam masa sama memberi dorongan kepada rakyat untuk memberi kerjasama dalam kempen itu.

Beliau turut menekankan aspek penyebaran maklumat yang sahih dan tepat supaya rakyat dapat memerhati dan menilai secara matang mengenai situasi yang dihadapi negara ketika ini.

- Advertisement -

“Penyebaran maklumat palsu yanh menggagalkan usaha kerajaan perlu disekat dan diambil tindakan. Malah, pelaksanaan undang-undang juga harus diperketatkan dengan budi bicara di mana yang wajar.

“Kerajaan dari semasa ke semasa telah menyampaikan maklumat (mengenai) keadaan terkini pandemik Covid-19 di Malaysia dengan bilangan jangkitan baharu dan kadar kematian sepanjang pesakit menerima rawatan mengikut setiap negeri dan daerah yang diberikan melalui pelbagai medium.

“Kini, kerajaan berkongsi maklumat tentang tahap kesediaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan katil hospital supaya rakyat memperolehi gambaran lebih jelas situasi serius dengan penularan Covid-19 ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakah ketika diminta mengulas berhubung kempen self lockdown dan langkah-langkah wajar yang harus diambil agar rakyat peka dengan penularan Covid-19, hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau masih merasakan terdapat segelinitir rakyat masih tidak memandang serius akan kepentingan menjaga keselamatan nyawa dan kesihatan akibat penularan Covid-19.

Justeru, perkara yang disarankan beliau untuk menjayakan kempen tersebut adalah dengan meminimumkan masa berada di luar rumah.

Antaranya seperti membeli barang keperluan seminggu sekali, mengisi minyak kenderaan dengan tangki penuh, solat lima waktu berjemaah dengan ahli keluarga di rumah, mengoptimumkan pembelian secara dalam talian, polisi zero tetamu, membeli barang keperluan terdekat dari kediaman dan tidak keluar rumah dari jam 8 malam hingga 5 pagi.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa isu pembelian vaksin yang tular dengan harga yang mahal adalah tidak benar, malah harga vaksin tersebut adalah wajar.

“Jadi, sekali lagi ingin saya menyebutkan bahawa isu berkait dengan harga pembelian vaksin tidak sepatutnya dipolitikkan dan jangan kelirukan orang ramai.

“Ini kerana kita fokus untuk menjayakan program vaksinasi ini dan tidak mahu mengelirukan rakyat dari segi pembelian dan perjalanan.

“Selagi kita tidak mencapai keimunan kelompok (herd immunity), ini adalah penting untuk kita mematuhi prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya kerana keadaan penularan Covid-19 ini agak membimbangkan kita semua,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, misi bagi menjayakan program vaksinisasi ini adalah tanggungjawab bersama sebagai rakyat Malaysia demi menyelamatkan nyawa kesihatan dan selamat supaya dapat hidup kembali seperti biasa semula. – HARAKAHDAILY 24/5/2021

- Advertisement -