Seawal 7.30 pagi penerima vaksin telah menunggu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, hari ini meninjau perjalanan operasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam yang mengendalikan suntikan seramai 3,000 orang setiap hari.

Beliau berkesempatan bertemu dengan pemilik bangunan IDCC Shah Alam dan merakamkan jutaan terima kasih di atas kesudian untuk membenarkan operasi PPV mega itu dapat dilaksanakan di situ.

- Advertisement -

“Saya telah diberi taklimat oleh wakil daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan anggota sekretariat pelaksana program ini,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, petang ini.

Menurutnya, mereka juga merupakan pasukan yang sama yang menjayakan PPV di PWTC yang mengendalikan seramai 8,000 orang sehari.

Katanya, beliau dimaklumkan seawal 7.30 pagi sudah ada penerima vaksin yang telah menunggu.

“Seperti biasa saya akan menyapa penerima vaksin terutamanya warga emas dan pengiring yang hadir untuk mendapatkan maklum balas dan hasil dari sapaan tersebut ramai yang memberi respons yang positif di atas perkhidmatan yang diberikan di sana,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Amzad dimaklumkan ada pihak korporat yang menyumbang makanan kepada para petugas dan mengucapkan terima kasih juga kepada Nestle.

Katanya, pihak MOSTI memandang serius isu kesesakan di beberapa PPV dengan merancang untuk memperbanyakkan PPV mega.

“Kita telah mendapat banyak tawaran daripada pemilik-pemilik bangunan yang menawarkan bangunan mereka untuk dijadikan PPV mega. Terima kasih saya ucapkan,” ujarnya yang turut diiringi Ketua Setiausaha Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir. – HARAKAHDAILY 24/5/2021

- Advertisement -