Selebriti, pemimpin tunjuk contoh baik patuhi SOP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kalangan selebriti atau pemimpin wajar menunjukkan contoh dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Kalau anda selebriti atau pemimpin, tunjuklah contoh yang baik dengan mematuhi SOP kerana impaknya besar untuk menyatukan rakyat ikut SOP.

“Dan kalaupun selebriti dan pemimpin tidak boleh diharap untuk berperanan seperti yang diimpikan, janganlah pula anda mengikut mereka, kerana harganya dibayar oleh anda dan keluarga anda. Cukuplah,” tulis Pakar Perunding Perubatan Kecemasan & Trauma, Dr Alzamani Mohammad Idrose menerusi satu entri di Facebooknya, semalam.

- Advertisement -

Justeru, katanya kita perlu berubah 180 darjah untuk memenangi ‘perang’ itu.

“Kami tahu semua rahsia yang anda simpan kerana terbongkar di hospital – ziarah senyap-senyap, makan dekat-dekat, berhimpun senyap-senyap, berjemaah rapat-rapat secara senyap-senyap.

“Yang senyap-senyap inilah menyebabkan angka senyap-senyap naik. Sebaliknya, yang dalam senyap mematuhi SOP dengan sempurna adalah wira sebenar yang tak didendang. Anda sendiri sahaja yang tahu dalam kumpulan mana anda tergolong.

“Peranan anda dalam menentukan menang atau kalahnya perang itu teramat besar. Untuk menentukan sama ada ‘bas’ terus masuk gaung setiap hari atau tidak,” katanya lagi.

Beliau menyifatkan kini setiap hari ‘sebuah bas’ masuk gaung dan semua penumpangnya mati susulan setiap hari sekitar 50 orang mati akibat Covid-19 di negara ini.

Menurutnya, petugas rumah mayat itulah yang menghantar mayat-mayat itu untuk dikebumikan.

“Ahli keluarga hanya boleh melihat dari jauh. Tiada kucupan terakhir untuk selamat tinggal ke alam barzah. Hanya doa yang dititip dari jauh,” ujarnya.

Tambahnya, ada antaranya ibu atau bapa yang mendapat Covid daripada anak atau menantu yang berziarah.

“Dalam keadaan petugas kesihatan bertungkus lumus di hospital merawat ledakan kes Covid, anda boleh bercekak pinggang berkata: Bukalah katil lebih. Tambah jer lah katil ICU,” tambahnya.

Beliau berkata, malangnya katil ICU bukan katil yang dibeli di kedai perabot.

Tambahnya, ada staf ramai, peralatan jutaan ringgit, kemahiran mengendalikan pesakit dan banyak aspek lain yang sukar.

“Dalam pada itu, ada ramai yang menipu diri sendiri dengan SOP yang ke laut bila makan, berziarah senyap-senyap, rentas sempadan di jalan tikus, beraya senyap-senyap, makan dekat-dekat di asrama dan tempat kerja. KKM dituduh tipu data dan semuanya salah KKM.

“Tambahlah katil hospital banyak manapun, tetapi kalau anda tidak menghentikan malah menambah kes-kes Covid ke hospital dari SOP anda yang ke laut, semuanya tidak pernah akan cukup untuk anda,” katanya lagi.

Beliau menambah, semuanya hanya akan berhenti apabila anda melihat diri sendiri, berhenti menyalahkan orang tetapi menyalahkan diri sendiri.

“Peranan anda besar untuk menghentikan sebaran Covid. Caranya sama, tak berubah seperti dipesan sejak setahun lalu – pakai mask dan jauhilah manusia. Amalkan SOP ‘tanpa ruang bolos’ sedikitpun.

“Anggap semua ada Covid. ‘1 meter’ adalah jarak ‘keramat’. Jika mask dibuka contohnya semasa makan atau riadah…obseslah untuk jarak itu melebihi 1 meter dari mereka,” ujarnya.

Beliau juga menyeru masyarakat supaya mendaftar untuk divaksin dan jangan percaya dakyah golongan antivaksin. – HARAKAHDAILY 23/5/2021

- Advertisement -