Gencatan senjata juga adalah satu kemenangan

- Advertisement -

SETELAH pertempuran berlangsung selama 11 hari, akhirnya pihak Zionis Israel terpaksa akur untuk melakukan gencatan senjata dengan pergerakan Hamas dan Jihad Islami di sebelah pihak pejuang Palestin. Gencatan senjata itu berkuat kuasa pada jam 2 pagi Jumaat lalu waktu tempatan.

Sulh atau perjanjian damai adalah sebahagian daripada penyelesaian yang dianjurkan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Rasulullah SAW juga lebih memilih perdamaian dengan Musyirikin Quraisy dalam Perjanjian Hudaibiyah walaupun sebelum itu telah dilakukan Bai’ah al-Ridhwan untuk persiapan berperang.

Firman Allah SWT:

وَإِن جَنَحُوا۟ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ

- Advertisement -

(Maksudnya) “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Anfal: 61)

Para ulama fiqh membincangkan berkaitan hukumnya dalam tajuk fiqh al-jihad atau ahkam al-siyar. Berdasarkan rekod, para pejuang di Palestin sememangnya berpegang kepada prinsip ini sejak dahulu demi menyelamatkan nyawa dan mengurangkan korban peperangan sesuai dengan Maqasid Syariah. Ini bukan kali pertama, kedua-dua pihak juga pernah memeterai gencatan senjata pada 18 Februari 2009 setelah 22 hari berbalas-balas serangan udara.

Tujuan peperangan dalam Islam ialah menolak kemudaratan akibat pelampauan yang dilakukan oleh musuh-musuh.

Firman Allah SWT:

وَقَـٰتِلُوا۟ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِینَ یُقَـٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوۤا۟ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِینَ

Maksudnya: “Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.” (Surah al-Baqarah: 190)

Ini membuktikan bahawa Islam tidak mengajar keganasan dan menggalakkan peperangan. Sebaliknya hukum pelaksanaan jihad dalam bentuk qital (pertempuran bersenjata) adalah terikat dengan syarat-syarat yang ketat. Antaranya ialah mempertahankan diri daripada kezaliman musuh dan membela maruah agama.

Firman Allah SWT:

أُذِنَ لِلَّذِینَ یُقَـٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُوا۟ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِیرٌ

Maksudnya: “Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana mereka telah dianiaya; dan Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).” (Surah al-Hajj: 39)

Namun, belum sampai 24 jam setelah genjatan senjata diumumkan, Yahudi Zionis telah kembali melakukan pencerobohan ke atas umat Islam di Baitulmaqdis. Benarlah firman Allah SWT dalam menyatakan sifat-sifat bangsa ini yang antara lainnya menyebut mereka ini suka memungkiri janji.

Firman Allah SWT:

فَبِمَا نَقْضِهِمْ مِيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً ۖ يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَنْ مَوَاضِعِهِ ۙ وَنَسُوا حَظًّا مِمَّا ذُكِّرُوا بِهِ ۚ وَلَا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَىٰ خَائِنَةٍ مِنْهُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِنْهُمْ

Maksudnya: “(Tetapi) kerana mereka melanggar janjinya, Kami kutuki mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka suka merubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya, dan kamu (Muhammad) senantiasa akan melihat pengkhianatan dari mereka kecuali sedikit di antara mereka (yang tidak berkhianat).” (Surah al-Maidah: 13)

Allah SWT juga telah mengungkapkan bahawa bangsa Yahudi adalah bangsa yang suka melakukan peperangan dan kerosakan. Jadi, tidak hairanlah sekiranya mereka tetap inginkan peperangan walaupun perjanjian genjatan senjata telah dipersetujui.

Firman Allah SWT:

كُلَّمَا أَوْقَدُوا نَارًا لِلْحَرْبِ أَطْفَأَهَا اللَّهُ ۚ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا ۚ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya: “Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan.” (Surah al-Maidah: 64)

Kerana itu, kita percaya pihak Zionis Israel tidak akan berhenti memerangi saudara-saudara kita di Palestin. Cuma, dari segi moralnya gencatan senjata ini juga adalah satu bentuk kemenangan bagi umat Islam. Ini kerana, bangsa yang angkuh dan sombong itu tidak mampu menundukkan para pejuang Palestin yang berperang tanpa kelengkapan senjata seperti mereka.

Saranan saya, janganlah kita putus berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT. Ingatlah bahawa senjata yang paling ampuh bagi umat Islam adalah dengan berdoa sebagaimana sabda Nabi SAW:

الدعاء سلاح المؤمن

Maksudnya: “Doa adalah senjata bagi orang yang beriman.” (HR al-Hakim)

Selain kita berdoa, hulurkanlah juga sumbangan derma yang kita termampu.

Bantuan yang dihulurkan ini akan menjadi saksi di hadapan Allah SWT bahawa kita juga turut membantu serta menolong saudara seagama kita di sana. Semoga sumbangan yang diberikan ini menjadi saham kita di akhirat nanti. – HARAKAHDAILY 23/5/2021

- Advertisement -