Unit Bom Bukit Aman siasat punca kereta meletup

- Advertisement -

KOTA BHARU: Polis Kelantan meminta kepakaran Unit Bom Bukit Aman bagi mengenal pasti punca kejadian letupan sebuah kereta yang berlaku berhampiran persimpangan Kampung Sireh di sini kira-kira jam 5.30 petang semalam.

- Advertisement -

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, pihaknya akan mengumumkan hasil siasatan secepat mungkin kerana kejadian yang pertama kali berlaku di Kelantan menyebabkan kemusnahan termasuk lima kenderaan terbakar.

“Dalam kes ini kita memohon bantuan Unit Bom dari Bukit Aman dan sekarang dalam perjalan ke lokasi kejadian yang ditutup buat sementara waktu kepada pengguna jalan raya, kita akan umum hasil siasatan secepat mungkin.

“Bantuan ini untuk melihat lebih luas siasatan sama ada jumlah dengan kemusnahan yang terjadi termasuk jumlah mercun yang dibawa oleh mangsa kerana saya lihat kesan mencapai 100 meter, angka yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada lawatannya di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima kampung melibatkan Mukim Limbat, Terusan Pasir Tumboh, hari ini.

Sidang media pelaksanaan PKPD yang melibatkan 1,300 keluarga itu turut dihadiri Ketua Jajahan Kota Bharu, Rosnazli Amin dan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Abdul Rahim Daud.

Shafien juga menjelaskan mangsa dalam semakan polis mendapati mempunyai rekod dadah dan pecah rumah, malah pihaknya masih menyiasat bagaimana bekalan mercun dalam kuantiti besar masih dapat diperolehi walau pun sempadan ditutup.

Menurut pelbagai spekulasi dibangkitkan termasuk dimaklum mengenai cubaan menghisap rokok ketika hujan lebat ketika kejadian itu berlaku, malah ada pihak mendakwa letupan itu berlaku kerana sambaran kilat dan petir.

“Kita tidak pasti dia sebagai agen atau penyeludup, penjual mahu pun peruncit, banyak perkara kena lihat, punca kejadian ketika hujan lebat, ada maklumat diterima dimaklumkan cubaan menyalakan rokok, banyak maklumat diterima.

“Sebab itu kita minta Unit Bom lakukan siasatan sebab letupan itu berlaku, kita juga berharap saksi yang melihat kejadian itu tampil supaya dapat membantu sisatan pihak polis. Ini kejadian pertama di Kelantan letupan besar,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan siasatan awal pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mendapati kereta jenis Proton Iswara yang meletup itu turut membawa mercun dan merosakkan lima lagi kenderaan berhampiran termasuk sebuah terbakar.

Mangsa yang berusia 50-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian yang tercampak kira-kira 20 meter kerana kesan daripada letupan itu, bahkan kenderaan yang dipandu mangsa juga terputus dua serta empat lagi mangsa mengalami cedera ringan. – HARAKAHDAILY 22/5/2021

- Advertisement -