Jual sup bantu Palestin peroleh RM12,030

Pengagihan sup daging lembu kepada penyumbang jam 10 pagi.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Baru sahaja separuh hari jualan amal sup bernilai RM10 sebungkus untuk dana #Aid4Palestine berlangsung ia sudah berjaya memperoleh sebanyak RM12,030.

Jumlah hasil terkumpul jualan amal sup anjuran Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) dengan kerjasama Restoran Sururi itu direkodkan pada 1.47 petang tadi sejak program ini berlangsung pagi tadi.

Ketua DPPWP, Mohammad Rashidi Abd Razak berkata, dana tersebut meliputi hasil dari penjualan serta sumbangan ikhlas dari beberapa pihak untuk membuat amal kebajikan melalui jualan amal ini.

- Advertisement -

“Kita tidak mampu untuk ke sana tetapi kita boleh menghulurkan sumbangan infak kewangan bagi meringankan beban penderitaan mereka.

“Penderitaan yang saudara kita alami dan dizalimi dengan begitu kejam oleh rejim Zionis Israel.

Proses memasak sup daging lembu untuk dijual dan disumbangkan kepada dana Palestin.

“Mereka berjuang dengan darah dan air mata demi mempertahankan tanah suci umat Islam Baitul Maqdis,” ujar Mohammad Rashidi kepada Harakahdaily selepas mengagihkan bungkusan sup kepada pengunjung yang datang membeli.

Katanya lagi, jualan amal ini hasil kerjasama DPPWP dengan beberapa pihak iaitu Restoran Sururi, Jabatan Amal Malaysia, Alternative Riding Club (ARC), Jabatan Seni Budaya dan Sukan (DACS), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Jabatan Media Baru (NUMED).

Jelasnya, butiran dana untuk sup sudah dibayar adalah sebanyak RM6,970, sumbangan sup, RM330, sumbangan secara pembayaran talian, RM2,300, sumbangan secara tunai, RM1,960 dan sumbangan melalui Toyyibpay, RM470.

“Konsep kami adalah mengeluarkan modal, kemudiannya kami menjual balik dan mengoperasikan sup tersebut. Jualan keseluruhannya, 100 peratus kami masukkan ke dalam tabung dana Palestin.

“Dengan kerjasama Restoran Sururi yang terkenal di ibu kota ini untuk membenarkan premis bersama dan gerak kerja mereka adalah memasak dan kami pula membungkus sup untuk jualan amal ini.

Usaha kreatif ini dihasilkan selepas entiti Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan memikirkan langkah sesuai untuk mengumpul dana Tabung Palestin.

Beliau juga memaklumkan mengenai perancangan untuk mendapatkan jualan dana selama empat hari bagi menjayakan program ini.

Justeru, orang awam boleh menyumbang dana secara terus melalui pautan https://toyyibpay.com/DERMASAVEPALESTIN atau hubungi Exco DPPWP, Adam Syukri Muhammad di talian 019-367 3249. – HARAKAHDAILY 22/5/2021

- Advertisement -