HPKK UKM dicadang sebagai Hospital Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia mengalami peningkatan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara sebanyak 60 peratus jika dibanding dengan tempoh dua minggu yang lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, di Lembah Klang pula mencatat peningkatan lebih tinggi iaitu 94 peratus berbanding tempoh yang sama.

- Advertisement -

“Kadar penggunaan katil ICU di hospital-hospital di Lembah Klang kini adalah melebihi 100 peratus,” ujarnya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, malam ini.

Katanya, sebagai langkah menangani peningkatan mendadak kes Covid-19 kategori 4 dan 5 yang memerlukan katil rawatan kritikal/ICU, pihak pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan dan Universiti Kebangsaan Malaysia telah bertemu untuk membincangkan cadangan penggunaan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) sebagai Hospital Covid-19.

Menurutnya, HPKK UKM merupakan hospital pengajar yang baru siap dibina dan terletak bersebelahan dengan Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Tambahnya, hospital itu mempunyai kapasiti 243 katil termasuk 28 katil rawatan kritikal/ICU (adult sized beds) yang berpotensi digunakan sementara sebagai hospital yang merawat Covid-19 khususnya mereka dengan gejala yang serius.

Beliau berkata, melalui Seksyen 3 dan 4 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia dapat melaksanakan pemilikan sementara bangunan dan permintaan penggunaan sumber (termasuk sumber manusia) hospital pengajar dan swasta bagi maksud menangani wabak Covid-19.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada UKM di atas segala kerjasama yang diberikan. Semoga dipermudahkan segala urusan dalam menangani pandemik Covid-19,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/5/2021

- Advertisement -