PUTRAJAYA: Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pengurusan Covid-19 pada petang tadi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri telah membincangkan secara mendalam situasi semasa penularan jangkitan Covid-19.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan malam ini memberitahu mesyuarat meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung status terkini kes Covid-19 termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.
Selain itu, menurut kenyataan itu, sidang khas juga membincangkan status pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa untuk tempoh empat minggu bermula 12 Mei lalu.
Katanya, Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.
Namun begitu, jelas kenyataan itu penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang.
Menurutnya, mengambil kira perbincangan dan penelitian dalam sidang khas pada hari ini, mesyuarat sebulat suara bersetuju mengetatkan lagi pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuatkuasa dengan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.
“Sidang Khas ini turut melibatkan kerajaan negeri bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk mengekang penularan Covid-19,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Kenyataan itu memaklumkan perincian mengenai sekatan tambahan itu akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan Pertahanan esok. – HARAKAHDAILY 21/5/2021