Kerajaan Pulau Pinang lemah, percaya maklumat palsu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyogok kerajaan menggunakan surat palsu membabitkan tawaran percuma dua juta dos vaksin Sinovac menunjukkan sifat lemah kerajaan negeri itu.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad, pendedahan yang dibuat Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar itu turut menggambarkan bahawa Pulau Pinang gagal membuat kajian mendalam berhubung syarikat palsu berkenaan yang cuba berurusan dengan mereka.

- Advertisement -

“Ini menunjukkan bagaimana pemimpin yang tidak matang ini di dalam menguruskan isu-isu yang sangat kritikal terutama sekali yang melibatkan nyawa rakyat Malaysia dan juga rakyat Pulau Pinang.

“Isu ini menampakkan kegelojohan Ketua Menteri Pulau Pinang dan juga Setiausaha Agung DAP sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan kesat berkenaan dengan isu ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, Khamis.

Sementara itu, Kamaruzaman turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Khairy di atas tindakan pantas beliau dalam memberikan maklum balas terhadap tindakan politik tidak matang yang ditonjolkan oleh mereka.

“Dalam isu yang kritikal ini sepatutnya semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang perlu bekerjasama dengan baik dan erat untuk sama-sama mencari solusi terbaik untuk rakyat dan negara bukannya dengan mengambil tindakan politik yang akan merugikan masa depan rakyat dan negara,” katanya.

Terdahulu, Chow Kon Yeow telah mendakwa bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menolak untuk menyetujui permintaan Pulau Pinang menerima syarikat swasta menaja dua juta dos vaksin Covid-19 dari China.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kemudiannya mendesak Chow agar menerima tawaran vaksin tanpa persetujuan kerajaan Persekutuan dan menangani akibatnya atau hukumannya kemudian.

Menurut Khairy, Lim dan Chow telah membuat tuntutan tersebut berdasarkan surat dari seorang bernama ‘Yong Chee Kong’, yang mengatakan bahawa dia adalah orang Malaysia yang bekerja di Xintai Development Enterprise Ltd. yang berpangkalan di Hong Kong.

‘Yong’ mendakwa bahawa dia telah menghubungi Sinovac Biotech dan bersedia membayar deposit AS $ 2 juta (RM8.28 juta) untuk mendapatkan vaksin.

Namun, Khairy, ketika memeriksa dengan Sinovac Biotech, mendapati tidak ada permohonan yang dibuat kepada pengeluar vaksin mengenai sumbangan tersebut sementara Pegawai Jualan Antarabangsa dikenali Miss Coco Chang mengesahkan bahawa dia tidak dihubungi oleh ‘Yong’ mengenai perkara itu.

“Jadi, macam mana kerajaan Pulau Pinang boleh menggunakan scam ini untuk menuduh kerajaan Persekutuan menghalang derma dua juta dos vaksin untuk Pulau Pinang?” soal Khairy. – HARAKAHDAILY 21/5/2021

- Advertisement -