Kumpul kekuatan sedia ada untuk menekan Israel

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umat Islam seluruh dunia dan negara-negara Islam disaran mengumpulkan, kemudian menggunakan kekuatan sedia ada untuk menekan Zionis Israel.

- Advertisement -

Menurut Duta Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, langkah sedemikian sebelum ini pernah menjadikan negara Islam berada pada kedudukan ekonomi yang paling tinggi di dalam dunia.

“Kalau negara-negara Kesatuan Eropah (EU) tidak ada hasil apa pun, dia boleh bersatu, dia boleh kuat dengan ekonominya, dengan ketenteraan dia, mengapa kita orang Islam begitu berselerak ini tidak boleh lakukan sesuatu? Ini perlu diusahakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara Astro Awani, Dialog Tiga Penjuru yang turut menampilkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Dato’ Dr Afifi Al-Akiti, semalam.

Sementara itu kata Ahli Parlimen Marang itu, negara-negara Islam turut disaran mengurangkan pergaduhan sesama sendiri serta memperbanyakkan rundingan bersama musuh-musuh Zionis Israel.

“Jangan banyakkan lawan, banyakkan rundingan dengan musuh-musuh untuk ambil kerjasama, untuk kurangkan jumlah lawan yang utama, musuh yang besar.

“Hari ini yang paling menonjol menyokong Israel adalah Amerika Syarikat. Apa salahnya kalau negara Islam ini bersatu menjalinkan hubungan dengn negara yang bermusuh dengan mereka?

“Jalin hubungan baik, jangan bergaduh dengan mereka sangat, bersatu dengan kita sendiri dan negara-negara yang tidak baik dengan mereka, kita satukan,” jelasnya.

Seterusnya beliau turut berpandangan bahawa umat Islam juga perlu diberi kesedaran dan kefahaman mengenai konflik Israel-Palestin serta konflik-konflik yang berlaku di negara luar.

Malah katanya, sangat memalukan apabila melihat orang Islam yang jahil agama bertindak membuta tuli dengan mengambil pendekatan yang agresif.

“Bunuh orang islam sendiri, bom masjid, sekolah agama pun bom, bom pasar, bom hotel, bom kedutaan.

“Mengikut hukum Islam, kedutaan tidak boleh bom walaupun kedutaan musuh. Ini hukum syarak, tetapi sebab tidak tahu hukum islam (mereka melakukannya), ini kerana jahil agama, bebal agama.

“Mungkin musuh-musuh kita menggunakan kejahilan kita sendiri untuk menimbulkan masalah,” katanya.

Tambahnya, beliau juga kurang bersetuju dengan langkah beberapa negara yang mendukung tindakan-tindakan agresif yang akhirnya menyebabkan kekacauan di negara sendiri.

Sehingga menimbulkan perang proksi dan menyebabkan musuh menyerang titik kelemahan itu akibat umat Islam berperang sesama sendiri.

“Dia boleh berniaga senjata pula, sepatutnya duit kita gunakan untuk lawan musuh kita, ini tidak. Berperang di Yaman, berperang di Syria, berperang di Libya. Ini bukan kerja Israel.

“Ini satu benda yang sangat memalukan kita sendiri, ini perlu diubah. Yang paling utamanya orang Arab sendirilah,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 21/5/2021

- Advertisement -