Sempena sambutan Hari Hipertensi Sedunia 2021

- Advertisement -

HARI Hipertensi Sedunia pada tahun ini disambut pada 20 Mei 2021 dengan tema Tekanan Darah Terkawal, Hidup Lebih Sejahtera (Measure Your Blood Pressure Accurately, Control It, Live Longer) yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit hipertensi (tekanan darah tinggi) di kalangan masyarakat Malaysia. Hipertensi merupakan penyumbang utama kepada penyakit kardiovaskular, strok, kegagalan buah pinggang dan seterusnya kematian pramatang di seluruh dunia. Hipertensi juga dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ (silent killer) kerana ia sering tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala, dan ramai yang masih tidak menyedari mereka menghidapi hipertensi.

Kawalan tekanan darah yang baik juga adalah sangat penting terutamanya ketika pandemik COVID-19. Ini adalah kerana pesakit-pesakit yang mempunyai komorbiditi seperti hipertensi, kencing manis dan penyakit jantung adalah lebih terdedah untuk mendapat kesan yang lebih mudarat sekiranya dijangkiti penyakit COVID-19. Analisis kepada data pesakit kritikal yang dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan menunjukkan bahawa sebanyak 58.3 peratus pesakit yang dirujuk kepada rawatan kritikal mempunyai sejarah penyakit hipertensi dan hampir separuh (49.4 peratus) daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

- Advertisement -

Selain itu, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan bahawa prevalen hipertensi di kalangan penduduk Malaysia dewasa berumur 18 tahun dan ke atas adalah 30.0 peratus atau kira-kira 6.4 juta orang dewasa. Amat membimbangkan juga, daripada jumlah tersebut adalah dianggarkan 50 peratus tidak mengetahui diri mereka menghidap penyakit hipertensi di mana ini mungkin disebabkan mereka tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan.

Sempena Hari Hipertensi Sedunia tahun ini, saya ingin menyarankan kepada seluruh rakyat Malaysia agar mengambil langkah-langkah berikut:

i. Kawal berat badan.
Kekalkan berat badan ideal. Berat badan berlebihan boleh meningkatkan tekanan darah;

ii. Hadkan garam.
Hadkan pengambilan garam tidak melebihi 1 paras sudu kecil sehari bagi mengurangkan risiko hipertensi, sakit jantung dan strok;

iii. Elakkan alkohol.
Pengambilan alkohol secara berlebihan adalah dikaitkan dengan penyakit hipertensi;

iv. Tangani stres.
Mengurus dan menangani stres dengan baik secara tidak langsung mengurangkan tekanan darah tinggi seterusnya mencegah komplikasi;

v. Sentiasa aktif.
Lakukan aktiviti fizikal atau senaman pada intensiti sederhana sekurang-kurangnya 30 minit sehari, 5 hari seminggu;

vi. Tidak merokok.
Jika anda seorang perokok, berhenti merokok. Sekiranya anda bukan perokok, jangan mulakan tabiat ini; dan

vii. Periksa tekanan darah.
Lakukan saringan kesihatan dan periksa tekanan darah secara berkala kerana penyakit hipertensi biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala.

Semoga dengan peningkatan tahap kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap kepentingan pemeriksaan tekanan darah dan bahaya penyakit hipertensi kepada kesihatan mampu mengubah tingkah laku rakyat Malaysia untuk mencegah dan mengawal penyakit hipertensi. Seterusnya ini akan mengurangkan risiko kematian pramatang akibat penyakit jantung dan strok di kalangan rakyat Malaysia.

TAN SRI DATO’ SERI NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan
20 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -