Kerajaan jadi pemudah cara NGO bantu Palestin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan akan memantau kegiatan pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan mengutip sumbangan berkait dengan Palestin.

Ia bagi mengelak berlaku sebarang aktiviti sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, sehingga kini kerajaan belum lagi menerima sebarang laporan berkait dengan aktiviti tersebut.

- Advertisement -

Malah katanya, kerajaan akan turut menjadi perantaraan memudah cara Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mengambil tindakan proaktif dan segera dalam usaha membantu perjuangan Palestin.

“Kabinet telah membuat satu ketetapan untuk mengiktiraf peranan yang dimainkan NGO terutama dalam usaha mengadakan misi kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin.

“Perkara itu selaras dengan pendirian dan polisi kerajaan mengecam secara habis-habisan tindakan zionis Israel yang melancar serangan tanpa perimanusiaan terhadap Palestin serta Masjid Al-Aqsa,” katanya pada sidang media di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Menurutnya juga serangan tersebut menyebabkan ramai rakyat Palestin mati dan kerosakan harta benda berlaku.

“Atas dasar itu kerajaan bersedia menjadi pemudah cara fasilitator kepada NGO.

“Ada sebahagian mereka mencari jalan membina semula sekolah, bangunan, masjid dan jalan raya di Palestin seperti yang diberi perhatian sebelum ini. Kerajaan membantu memudah cara bersama NGO,” katanya.

Tentera zionis Israel melancarkan serangan tertali arus terhadap Gaza sehingga menyebabkan ramai penduduk mati dan cedera.

Serangan itu dikutuk rakyat seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat biarpun kerajaan negara ini mengambil sikap menyokong Israel. – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -