Lapor polis terhadap ‘Facebooker’ hasut, hina YDPA

- Advertisement -

BENTONG: Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Negeri Pahang, Ustaz Roslan Mad Esa telah membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook, Aspan Alias kerana telah memuat naik kenyataan berbaur hasutan, ugutan dan penghinaan.

- Advertisement -

Roslan bersama Bendahari UMMAH Pahang, Sahir Abdul Rahman membuat laporan polis berhubung kenyataan Aspan terhadap Yang di-Pertuan Agong yang dimuatnaik antara 14 Mei hingga 16 Mei 2021 itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, di sini semalam.

Kenyataan ditulis dan dimuat naik di dalam bahasa Inggeris itu antara lain bermaksud, “Saya amat bimbang bahawa Tengku Abdullah dilihat oleh rakyat sebagai seorang ahli perniagaan bukan sebagai seorang Raja kepada sebuah negara yang berdaulat.”

Beliau juga dengan secara terangnya seolah-olah mengugut Yang dipertuan Agong dengan kenyataan, “Tengku Abdullah yang menyalahgunakan kedudukan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong juga perlu turun dari takhta.”

Ia seterusnya disusuli dengan sebuah kenyataan penghinaan, “Sepatutnya rakyat dilindungi daripada pencerobohan, tetapi Yang di-Pertuan Agong melindungi para penceroboh.”

Menurut Roslan di dalam laporannya, semua kenyataan Aspan Alias ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menyebut apa-apa perkataan menghasut yang boleh mendatangkan kebencian dan penghinaan.

Ia juga boleh membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan serta di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Kita memandang serius isu penghinaan kepada Baginda YDPA selaku Raja yang mentadbir Kerajaan Malaysia sedangkan pada pandangan rakyat majoriti YDPA adalah Raja yang sangat dekat dihati rakyat dan Baginda sangat prihatin terhadap isu-isu rakyat.

“Kebiadaban ini mesti diambil tindakan agar ianya memberi pengajaran kepada semua agar berhati-hati memuat naik sebarang tulisan yang boleh menjatuhkan maruah pemimpin negara apatah lagi kepada institusi diraja yang menjadi tonggak kedaulatan negara,” ulas Roslan usai selesai membuat laporan polis sekitar jam 12 tengahari itu. – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -