Kerajaan fokus Covid-19, perkara kurang penting ditangguh

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan akan membincangkan sama ada akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lockdown yang dijangka akan dijadual berlangsung esok.

Ia susulan kadar penularan wabak Covid-19 yang dilihat semakin membimbangkan di mana mencatat angka kes tertinggi semalam.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu akan dipengerusi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, perkara itu adalah antara sebagai satu langkah yang diambil MKN sama ada PKP secara keseluruhan atau bersasar.

“Bagaimanapun perbincangan itu juga akan melibatkan Perdana Menteri dan kesemua menteri besar serta ketua menteri dari seluruh negeri,” katanya pada sidang media di Kompleks Kota Darulnaim Kota Bharu, hari ini.

Sebelum itu beliau menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Dalam pada itu Takiyuddin berkata, kerajaan akan terus memberi fokus sepenuhnya terhadap usaha menangani Covid-19.

“Perkara-perkara yang kurang penting kita tangguhkan dahulu, fokus kita buat masa ini adalah kepada pandemik Covid-19,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -