Israel dan pelindungnya dua wajah yang sama

- Advertisement -

ISRAEL mendapat restu negara sekutu yang dikepalai oleh Amerika Syarikat, di mana hala tuju negara kuasa besar itu telah ditentukan oleh pengaruh gerakan Freemason dan Zionis.

- Advertisement -

Akibat daripada kelemahan Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah yang dikepung dari segenap penjuru dunia, keadaan itu menyebabkan banyak wilayah Islam yang paling jauh jaraknya dijajah oleh musuh Barat. Bermula dengan kejatuhan Kesultanan Melaka yang paling terpencil pada tahun 1511 Masihi, kemudian diikuti dengan penaklukan wilayah-wilayah lain di Nusantara dan seluruh dunia. Sehinggalah diikuti dengan kejatuhan Turki ‘uthmaniyyah berpunca daripada pengaruh Freemason yang menyusup masuk ke dalam jentera kerajaan, menjadikan dunia Islam sudah tiada kuasa yang melindunginya.

Janji Allah SWT bahawa cahaya Islam itu tidak akan dapat dipadamkan oleh musuhnya telah mencetuskan kebangkitan semula umat Islam, sebagaimana firman-Nya:

﴿يُرِيدُونَ لِيُطۡفِ‍ُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ٨﴾

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah al-Saff: 8)

Sultan Abdul Hamid RH, iaitu Khalifah Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah yang terakhir dijatuhkan kerana beliau menentang gerakan Zionis dengan keras, lalu diasingkan ke sebuah pulau. Ramai dalam kalangan para ulama’ juga menerima nasib yang sama sepertimana beliau alami. Malah ada yang dibunuh, dipenjara dan dibuang jauh daripada rakyat, namun mereka tidak mampu dihapuskan semuanya.

Selepas itu, muncul tokoh besar seperti Almarhum Syeikh Jamaluddin al-Afghani di Afghanistan, sebuah negara paling terpencil yang gagal dijajah oleh para penjajah. Beliau berjaya mencetuskan semula kebangkitan ulama’, rakyat dan pemimpin.

Kemudian, Syeikh Jamaluddin al-Afghani dibuang ke Iran, sebuah negara yang bermazhab Syiah di bawah pimpinan raja yang mendapat perlindungan Barat. Sewaktu berada dalam buangan di Iran, beliau telah berjaya mencetuskan kesedaran dan menyatukan umat Islam yang berpecah mazhab masing-masing, bahkan dalam satu mazhab yang sama. Ketika itu, setiap mazhab sibuk menghabiskan masa dengan berbahas perkara dalam masalah furu‘ (cabang agama).

Walaupun kemudiannya beliau dihalau ke negara lain, sekali lagi beliau berjaya melahirkan pengikutnya, khususnya daripada kalangan Mazhab Shiah yang paling ramai, di samping dalam kalangan Mazhab Sunni. Antara pengikut beliau dalam kalangan Syiah ialah Ayatullah al-Khashani dan lain-lain tokoh. Kemudiannya, berjaya melahirkan murid seperti Imam Khomeini yang mencetuskan gerakan Islah dan Tajdid dalam Mazhab Syiah. Sehingga akhirnya mencetuskan Revolusi Islam pada tahun 1979 yang menjatuhkan Shah yang paling dilindungi oleh kuasa besar dunia pada masa itu.

Kejutannya diikuti pula dengan serangan oleh Kesatuan Soviet (Soviet Union) yang menakluk Afghanistan dan meletusnya Perang Teluk yang pertama di bawah pimpinan Iraq dan keseluruhan negara Arab tanpa mengira negara yang mengamalkan sistem beraja atau sistem republik. Termasuklah juga negara yang paling bermusuh dengan Iraq, dalam isu bahaya Islam atau bahaya Mazhab Syiah kepada Sunni dan bahaya Mazhab Sunni kepada Syiah. Semua yang dirancang itu walau bagaimanapun menemui kegagalan.

Pengasingan Almarhum Jamaluddin al-Afghani di India dan Mesir telah mencetuskan pelbagai gerakan Tajdid dan Islah di seluruh pelosok dunia. Contohnya di Mesir, murid beliau iaitu Syeikh Muhammad ‘Abduh RH dan lain-lain telah mencetuskan gerakan kebangkitan Islam melalui pertemuan antara pimpinan gerakan Islam Mesir, Iran, Turki (Syeikhul Islam Mustafa Sabri, Badi‘uzzaman Sa‘id al-Nursi dan lain-lain tokoh) dan negara yang lain. Khususnya, pertemuan antara Ayatullah Kashani, Nawwab Safawi, Hasan al-Banna, Sayyid Qutb dan lain-lain tokoh yang menandakan wujud hubungan iman dan roh Islam yang kuat antara satu sama lain.

Walaupun Hasan al-Banna, Nawwab Safawi, Sayyid Qutb dibunuh dan beroleh mati syahid, namun perjuangan kebangkitan semula Islam tetap gagal dipadamkan oleh musuh Islam. Ramai syuhada’ yang gugur daripada kalangan Sunni dan Syiah, seperti Fathi al-Shiqaqi, Yahya ‘Ayyash, Syeikh Ahmad Yassin, Abdul ‘Aziz al-Rantisi dan ramai lagi. Termasuklah juga Mustafa Chamran (dalam Perang Teluk), Qasim Soleimani, Abu Mahdi al-Muhandis yang terlibat secara langsung dalam operasi peperangan di Palestin.

Namun begitu, perjuangan kumpulan Islam telah dikelirukan oleh gerakan pelampau dalaman yang telah ditubuhkan bagi mengganggu perjuangan bagi membebaskan Palestin. Kumpulan terbabit bergerak di bawah payung beberapa negara yang mendapat bantuan daripada Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Mossad (agensi perisikan Israel).

Semua pendatang Yahudi yang datang ke Israel dipersenjatakan dan diberikan latihan ketenteraan, walaupun mereka hanya berada di rumah, di pejabat dan di mana sahaja. Perkara tersebut dapat disaksikan melalui media sosial yang mendedahkan kejadian tersebut, apabila mereka datang merampas rumah yang didiami oleh penduduk Palestin, kedai dan kebun dengan cara merompak dan membawa senjata. Di samping itu, dengan menggunakan anggota tentera dan polis yang turut bersenjata.

Semua persenjataan mereka mencukupi kerana ia telah dibekalkan oleh negara Amerika dan Eropah. Pada masa yang sama, mereka juga mempunyai kilang sendiri termasuklah senjata pemusnah yang telah diharamkan oleh undang-undang antarabangsa (antaranya bom fosforus putih dan lain-lain). Negara haram Israel tetap mendapat perlindungan oleh kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB dan tidak mampu dihukum oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan undang-undang antarabangsa laksana sarang labah-labah.

Adapun negara Islam sentiasa berada dalam ugutan atau sekatan. Kini, Iran dan Turki mara menjadi kuasa besar yang tidak tunduk kepada kuasa barat dan timur. Iran telah membuat kenyataan secara terbuka bahawa mereka telah membekalkan senjata tercanggih yang mampu mengatasi pertahanan negara Israel dan menembusi sistem kubah besi (Iron Dome) yang dikatakan sangat kebal itu.

Adilkah sekiranya negara Israel yang ganas boleh dibantu secara bebas oleh kuasa-kuasa besar? Sebaliknya gerakan Hamas, Tanzim Jihad dan lain-lain di Palestin pula dianggap salah kerana dituduh sebagai pengganas? Kenyataan sedemikian adalah sangat tidak bermoral dan bercanggah dengan nilai kemanusiaan.

Tidak syak lagi bahawa Israel mendapat restu negara sekutu yang dikepalai oleh Amerika Syarikat, di mana hala tuju negara kuasa besar itu telah ditentukan oleh pengaruh gerakan Freemason dan Zionis dalam setiap pilhan raya yang diadakan. Cuma yang membezakannya hanyalah tokoh-tokoh, laksana gambar dalam satu keping duit yang sama (two faces in the same coin).

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Syawwal 1442 / 20 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -