Tidak berbangkit bantuan tidak sampai di Gaza

- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat Malaysia yang menetap di Gaza akan memastikan sumbangan derma dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin disampaikan kepada individu serta keluarga yang benar-benar memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir al-Nuri Kamaruzzaman berkata, bantuan tersebut diusahakan lebih 90 NGO yang bernaung di bawah Sekretariat Aid4Palestine.

Katanya, isu yang timbul sebelum ini dibangkitkan individu yang tidak memahami semangat dan roh perjuangan rakyat Palestin yang mahu membebaskan Masjid al Aqsa di bawah cengkaman zionis Israel.

- Advertisement -

“Dukacitanya isu ini datang daripada pihak tidak memahami keadaan yang berlaku di bumi Gaza. Dakwaan itu sekadar hendak mematahkan perjuangan rakyat Palestin.

“Sedangkan bantuan boleh disampaikan melalui pindahan bank iaitu masuk di Malaysia dan ambil di bank di Gaza menerusi akaun banyak NGO yang berada bersama kita.

“Jadi tidak timbul bantuan tersebut kononnya tidak sampai kerana sempadan ditutup,” katanya pada rancangan Bicara Siasah bertajuk ‘Palestin Milik Kita’ anjuran Badan Perhubungan PAS Kelantan malam tadi.

Program itu turut menampilkan Pengerusi Sekretariat Aid for Palestin merangkap Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi

Nadir al Nuri turut merakam ucapan terima kasih di atas kerjasama NGO terbabit yang berusaha menyampaikan bantuan kepada warga Palestin.

Menurutnya juga bantuan yang diusaha di bawah satu badan lebih memudahkan tugas pengagihan kepada penerima, berbanding banyak NGO yang bergerak secara berasingan.

“Apabila bantuan disampaikan melalui satu jemaah ia tidak celaru dalam usaha menyampaikan bantuan. Malah ada keberkatan di mana semua yang memerlukan mendapat bantuan sewajarnya.

“Kita boleh melihat mereka yang terlibat dengan NGO Aid4Palestin sudah lama memperjuangkan pembebasan Palestin. Kami sentiasa pantau dan pastikan bantuan sampai kepada sasaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2021

- Advertisement -