Israel bongkak, biadab ugut negara berdaulat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ugutan dan ancaman yang dikeluarkan Zionis Israel terhadap pemimpin-pemimpin pergerakan perjuangan Palestin yang berada di seluruh dunia termasuk Malaysia adalah satu tindakan biadab.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, adalah sesuatu yang luar biasa melihat bagaimana sebuah pentadbiran haram, iaitu Israel berani untuk mengeluarkan ancaman sedemikian.

Katanya, ancaman yang dikeluarkan Zionis Israel itu jelas menunjukkan sifat bongkak dan biadab mereka terhadap kedaulatan negara-negara lain termasuk Malaysia.

“Ugutan Israel biadab, kerana mengancam kepimpinan Hamas yang berada di luar daripada pentadbiran haram Israel. Bagaimana sebuah negara haram ini boleh keluarkan amaran untuk membunuh pemimpin Hamas yang berada di luar daripada Palestin.

- Advertisement -

“Ini menunjukkan sikap bongkak, biadab kepimpinan Israel terhadap kedaulatan negara lain,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan two state solution, beliau secara jelas berpendirian menolak cadangan tersebut selari dengan apa yang dibawa oleh PAS dalam Muktamar Tahunan ke-66 sebelum ini.

Usul tersebut mendesak supaya umat Islam dan kerajaan Islam membantah, mengecam pengiktirafan Baitul Maqdis sebagai ibu kota negara haram Israel.

Dalam masa sama mengecam sebarang bentuk normalisasi hubungan diplomatik dengan Zionis Israel bagi mengekang peluasan kuasa politik dan penjajahannya ke atas Palestin.

Selain itu, usul yang dibawa Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) itu turut mengecam tindakan Liga Arab, Emiriyah Arab Bersatu dan Bahrain menormalisasi hubungan diplomatik dengan Israel yang merupakan satu bentuk pencabulan dan permusuhan terhadap ummah.

Usul turut mendesak kerajaan Malaysia mengkaji pendirian two state solution dalam hubungan luar kerajaan Malaysia berhubung isu Palestin dengan memberi penekanan terhadap sejarah dan nilai agama untuk kepentingan Palestin dan rakyatnya dengan solusi yang adil.

Beliau juga mewakili PAS menyokong sikap konsisten kerajaan Malaysia sehingga hari ini yang tidak mengiktiraf negara haram Israel selain tidak meneruskan atau mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan Israel. – HARAKAHDAILY 18/5/2021

- Advertisement -