Rendahkan moral Israel melalui medium maya

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengajak rakyat Malaysia meneruskan momentum menyerang zionis Israel dengan cara merendahkan moral dan mental mereka melalui medium maya.

Ketua Penerangan Ustaz DUPP, Mohd Nor Hamzah berkata, teruskan memberi hujah dan fakta, serta pukulan-pukulan sindiran sebagai tanda solidariti bersama terhadap kebencian yang tidak berbelah bahagi.

“Ini salah satu usaha kita atas kesedaran kita. Usah malapkannya. Teruskan membaca dan mengkaji mengenai sejarah negara Palestin bumi anbiya’. Apa sejarah para Nabi utusan Allah di situ.

- Advertisement -

“Bagaimana mereka dikhianati, bagaimana hak mereka dinafikan. Dan telah termaktub dan terbukti dalam lipatan sejarah, hanya tatkala agama Islam memerintah sahaja, agama-agama lain akan berada dalam keadaan lestari dan tenteram,” katanya pada satu kenyataan di sini hari ini.

Sejak pencerobohan zionis Yahudi terhadap penduduk Islam di Palestin dan Masjid al Aqsa akhir Ramadan lepas Dewan Ulamak PAS Pusat hari ini kali ketiga mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan tersebut.

Mohd Nor yang juga anggota Exco kerajaan Terengganu berkata, umat Islam di negara ini hendaklah terus membaca apa jua medium, sama ada buku, pdf, website, atau media sosial lebih faham secara mendalam.

Natijahnya kata beliau, kobaran semangat kita itu akan terus mekar dek kefahaman yang utuh dan bukan awang-awangan ikutan peredaran zaman semata.

Menurutnya juga Dewan Ulamak PAS Pusat terus konsisten mencela dan menempelak serangan rejim Zionis Israel ke atas Palestin.

“Pendirian itu masih kekal dan utuh tersemat semenjak semboyan jihad mempertahankan Palestin dilaungkan sejak tahun 1948.

“Isu kezaliman agama dan penindasan kemanusiaan yang membelenggu rakyat Palestin seringkali didiskriminasikan negara-negara besar dan media-media arus perdana.

“Kononnya mendabik dada menegakkan hak asasi manusia, tambahan mempertahankan sepenuh jiwa raga hak haiwan yang ditindas. Namun apabila manusia yang dibunuh, diletup dan dilecurkan, diam seribu bahasa..,” ujarnya.

Kata beliau juga pendirian DUPP dalam mengharungi kemelut isu Palestin turut disertakan langkah-langkah proaktif seperti berganding bahu menjayakan kutipan sumbangan secara ‘crowdfunding’ melalui kempen #Aid4Palestine.

Selain itu demontrasi atas talian anjuran bersama NGO-NGO, meneruskan hubungan baik dengan pihak rakyat Palestin melalui program-program bersama antarabangsa.

Kata beliau juga DUPP menyeru seluruh umat Islam terus utuh mengekalkan kekuatan ketumbukan bersama, dengan konsisten melaksanakan doa Qunut Nazilah dalam solat-solat fardu sama ada bersendirian, berjemaah di rumah, surau atau masjid.

“Terus berusaha keras untuk merebut peluang memberikan sumbangan kewangan melalui pihak-pihak yang diyakini.

“Rakyat Palestin sangat memerlukan bantuan kita. Jika tidak berpeluang untuk dimanfaatkan dalam melawan Israel laknatullah, paling tidak bisa membantu mereka untuk membina kehidupan semula,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 17/5/2021

- Advertisement -