Penduduk di zon merah tak payah datang zon kuning

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah mengingatkan rakyat Kedah negeri itu terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan jangan keluar rumah sekiranya tiada keperluan penting.

Muhammad Sanusi Md Nor berkata, golongan berisiko dan warga emas agar terus berada di rumah kerana bahaya Covid-19 boleh membawa maut.

“Patuhilah SOP, jangan ambil mudah terutama golongan berisiko dan warga emas. Covid ini boleh membawa maut,” katanya pada segmen bual bicara ‘Hello YB’ bersama Langkawifm hari ini.

Advertisement

Semalam Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bandar Darul Aman dan Lubuk Kawah di daerah Kubang Pasu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 18 hingga 31 Mei ini.

Ia berikutan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 yang agak mendadak di dua kawasan terbabit yang melibatkan sembilan lokaliti.

Sembilan lokaliti yang terlibat antaranya Taman Mahsuri 2A, Taman Mahsuri 2B, Taman Mahsuri 2C, Pusat Perniagaan Bandar Barat, Kampung Paya Kerchut, Taman Tunku Anum, Kampung Lubuk Kawah, Taman Desa Tanjung dan Taman Desa Darul Aman.

Kubang Pasu mencatatkan daerah ke dua tertinggi positif Covid-19 selepas Kota Setar kemudian diikuti Kuala Muda.

Pelaksanaan PKPD untuk membolehkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan secara bersasar kepada golongan berisiko tinggi yang berpotensi menyebabkan jangkitan.

Sehingga sekarang KKM melakukan 207 ujian saringan di semua lokaliti tersebut dan 94 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Sanusi juga berkata, virus Varian dari India dan Afrika Selatan yang melanda bukan hanya memberi kesan kepada warga emas malah turut berisiko kepada golongan muda.

Menurutnya kluster-kluster baharu di Kedah kebanyakannya timbul daripada perjumpaan program keagamaan seperti jamuan moreh, terawih, buka puasa dan tadarus.

“Bila kita ‘habaq’ tak mau ‘dengaq’. Kita tak bagi berjumpalah, tak bagi solat jemaah dan lain-lain.

“Tapi dah berlaku nak salah siapa pun tak boleh dah. Cuma masing-masing kena ambil langkah pengawalan, patuh SOP, pakai pelitup muka, jaga jarak, jangan berkumpul ramai-ramai,” katanya.

Semalam Kedah mencatat sebanyak 363 kes positif Covid-19 di mana ia merupakan peningkatan yang agak tinggi.

“Yang berada di zon merah tak payahlah datang ke zon kuning dan hijau,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/5/2021