Jambatan angkat bermandi cahaya warna bendera Palestin

Foto daripada Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menara jambatan angkat di sini bergemerlapan dengan limpahan cahaya lampu empat warna iaitu merah, hijau, putih dan hitam yang melambangkan warna bendera Palestin.

Pemasangan lampu itu adalah sebagai tanda solidariti barisan kepimpinan dan rakyat Terengganu terhadap Palestin terutama penduduk di Gaza yang sedang diserang rejim Zionis Israel ketika ini.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd Khalizan Mahmud berkata lampu itu mula dipasang pada pukul 7 malam ini selama tujuh hari berturut-turut.

“Disebabkan ketika ini adalah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka tempoh pemasangan lampu adalah selama lima jam sahaja setiap hari iaitu sehingga 12 tengah malam.

Semoga limpahan cahaya lampu berwarna ini akan terus menyuburkan semangat kita semua untuk konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mula dibuka kepada orang ramai pada 2019, jambatan angkat yang pertama di Asia Tenggara itu kini menjadi ikon kebanggaan Malaysia.

Pembinaan jambatan sepanjang 638 meter yang mempunyai dua menara berkembar setinggi 16 tingkat itu menelan kos sebanyak RM248 juta dan ia adalah jambatan keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus selepas Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati. – BERNAMA

- Advertisement -