Pengasas HAMAS dalam ingatan

"Menurut anggaran saya, di suku pertama abad ke 21, tepatnya tahun 2027 Israel akan menghilang (dari muka bumi ini), Insha Allah," kata As-Syahid Syeikh Ahmad Yasin dalam satu wawancara dengan wartawan Al-Jazeera, Ahmed Mansur beberapa tahun lalu.
- Advertisement -

22 MAC 2004 ialah tarikh yang diingati oleh semua penyokong perjuangan pembebasan bumi Palestin.

Jasad insan yang telah renta dibunuh dengan dahsyat oleh regim Zionis. Sosok pemberani yang inspiratif ini berkerusi roda, seolah mencium bau kesyahidannya, keluar daripada masjid yang berhampiran rumahnya pagi itu, bergegar dengan tembakan roket daripada helikopter musuh sehingga tercabik jasadnya.

Wajahnya tersenyum dalam kubangan darah yang mewangi. Beliau ialah pendiri HAMAS dan seorang tokoh pejuang yang lama terpenjara dalam jeriji besi Israel.

- Advertisement -

Penentangan berdarah terhadap negara haram Israel tidak pernah berhenti kerana regim ini sentiasa dahagakan darah orang beriman seperti kes pembunuhan di Shabra dan Shatila, pembunuhan di Masjid Ibrahimi Hebron dan ratusan lagi kes pembunuhan kejam yang mewarnakan bumi ini dengan warna merah darah penindasan.

Dalam tahun-tahun 60an dan 70an perjuangan Israel lebih terarah kepada kelompok sosialis dan kebangsaan Arab yang sempit.

Ternyata ideologi barat ini tidak mampu untuk menggerunkan Israel yang hanya mampu memahami bahasa bom dan senapang.

Kini sudah tiba masanya mereka kembali kepada perjuangan Islam seiring dengan kebangkitan Islam yang sedang bergelora di seluruh dunia.

Kembali kepada nuansa perjuangan yang berteraskan kepada Islam, berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, maka pada bulan Disember tahun 1987 Sheikh Ahmad Yasin bersama beberapa orang tokoh masyarakat (pendukung-pendukung Ikhwanul Muslimin di Gaza) mengasaskan Pergerakan Kebangkitan Islam (HAMAS) atau dalam Bahasa Arab disebut Harakatul Muqawwamatil Islamiyyah.

Pertubuhan ini secara langsung membawa fikrah Ikhwanul Muslimin dan menyeru rakyat Palestin berjuang atas dasar Islam dan menentang penjajahan Yahudi di Palestin.

Sheikh Ahmad Yasin sendiri dipilih sebagai pemimpin tertinggi dan beliau merupakan ideologue gerakan ini yang terkenal dengan sifat warak, berani, lantang berpidato, sedia berkorban dan mempunyai aura kepimpinan.

Ideologi perjuangan HAMAS dinyatakan di dalam perlembagaannya yang diisytiharkan pada 18 Ogos 1988. Antaranya ialah:

1)Dasar dan manhaj HAMAS ialah Islam yang lengkap.

2)HAMAS adalah gerakan kemanusiaan yang mengambil kira toleransi Islam yang membenarkan penganut-penganut agama lain tinggal bersama masyarakat Islam.

3)Palestin adalah tanah Islam sejak turun-temurun hinggalah hari kiamat. Ia tidak boleh dibelah bahagi atau diserahkan kepada pihak lain. Ia bukan milik mana-mana individu, pertubuhan ataupun raja dan presiden negara-negara Arab. Ia adalah milik Islam yang mesti dipertahankan.

4)Jihad menentang kezaliman Yahudi adalah fardhu ain ke atas setiap umat Islam lelaki dan perempuan. Dalam hal ini, wanita yang keluar berjihad tanpa izin suaminya adalah tidak berdosa.

5)HAMAS menolak usaha melengah-lengahkan kemenangan seperti perjanjian damai, persidangan-persidangan dan sebagainya. Hanya jihad sahaja jalan penyelesaian bagi isu Palestin.

6)Kelompok wanita memainkan peranan besar dalam perjuangan membebaskan bumi Palestin.

Mereka perlu berperanan melatih, mentarbiah dan mendidik serta melahirkan generasi yang faham Islam dan berakhlak mulia serta bersemangat tinggi untuk membebaskan tanah air mereka.

7)HAMAS menghormati pandangan gerakan-gerakan Islam yang lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan Islam. Ia juga turut menganggap Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Yasir Arafat sebagai ‘sahabat’, tetapi menolak fahaman sekular gerakan itu.

HAMAS mempunyai sikap yang tegas terhadap penubuhan pemerintahan Islam, tanpa kompromi maka gerakan ini menolak perjanjian damai sementara antara Israel dan Palestin pada tahun 1993-1994.

Mulai tahun 1994 HAMAS telah memulakan serangan berani mati terhadap Israel, fenomena ini menjadi igauan paling buruk bagi orang Yahudi.

Dalam tahun 1996 sahaja empat serangan bom dalam musim bunga telah diadakan menyebabkan 60 orang penduduk Israel telah terbunuh.

Kebangkitan kedua Palestin selama empat tahun setengah telah menyaksikan seramai 3,500 rakyat Palestin terbunuh dan 1,000 penduduk Israel terkorban.

Dengan menubuhkan HAMAS, rakyat Palestin yang selama ini tanpa arah yang jelas mencari jalan perjuangan, kini bergabung tenaga melakukan satu kebangkitan menyeluruh atau lebih dikenali sebagai intifadhah. (Ibnu Ismail: 2004).

Peristiwa yang menyebabkan tercetusnya kebangkitan (intifadhah) ini ialah tindakan sebuah lori besar milik Yahudi yang sengaja melanggar dua buah lori kecil milik umat Islam menyebabkan 4 orang terbunuh dan yang lain cedera.

Peristiwa ini adalah faktor sementara bukan faktor mutlak, kerana terdapat faktor-faktor lain yang merangsang fenomena ini.

Bermulalah intifadhah dan penentangan terbuka rakyat Palestin dengan melontar batu, membakar tayar di jalanan bagi menghalang kenderaan tentera Israel dan melempar Molotov Cocktail ke arah musuh.

Rakyat Palestin gagal mendapatkan senjata api kerana sempadan negara ditutup dan dikawal ketat oleh pihak Israel dan negara-negara Arab yang bersempadan namun gerakan HAMAS berjaya mendapatkannya secara sulit dan menyimpannya dalam gudang khas mereka seperti stor bawah tanah.

Bagi penduduk awam Palestin walaupun tidak memiliki senjata api, mereka keluar ke jalan-jalan raya melontar batu dan melastik pasukan tentera Yahudi.

Bagi tentera Yahudi (dalam sejarah Yahudi adalah penakut, suka melakukan secara sembunyi: lihat kisah Rasulullah SAW dalam peristiwa Bani An-Nadhir pada bulan Rabiul Awwal tahun keempat hijrah), walaupun mereka tidak berhadapan dengan senjata api, namun batu-batu itu begitu menggerunkan mereka.

Kebangkitan rakyat Palestin sangat membimbangkan regim Israel. Pada bulan Ogos 1988, tentera Israel menceroboh rumah Sheikh Ahmad Yasin dan melakukan pemeriksaan serta mengugutnya untuk dibuang negeri ke Lubnan bagi mengganggu kebangkitan umat Islam.

Namun ugutan itu tidak diendahkan Sheikh Ahmad Yasin dan penyokongnya yang mendambakan mati syahid sebagai citra perjuangan.

HAMAS telah meningkatkan operasi membunuh tentera pengganas Israel dengan laungan takbir yang semakin meriah sahut-menyahut di bumi Palestin.

Mata-mata Israel dari kalangan bangsa Arab Palestin turut dibunuh oleh pejuang HAMAS yang menganggap mereka sebagai musuh paling merbahaya bagi rakyat Palestin.

HAMAS terus gagah berdada dengan kezaliman regim Zionis serta mendapat dukungan kuat ummah.

Pimpinan mereka ramai yang telah menjadi syuhada seperti Sheikh Ahmad Yasin, Solah Syahadah, Dr Abdul Aziz Rantisi, Dr Nizar Abdul Kader Rayyan dan yang lain-lain.

Harakah Islam yang berkubu di Gaza ini kini mencapai usia 31 tahun dan mempunyai hubungan akrab dengan seluruh gerakan Islam termasuk PAS.

Nuansa perjuangannya jelas, akidah Islam mestilah menunjangi perjuangan dan tiada noktah henti sehinggalah dimerdekakan setiap inci tanah Palestin yang dijarah Zionis semenjak tahun 1948.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 16/5/2021

- Advertisement -