Rakyat Malaysia bela nasib umat Islam di Palestin

KOTA BHARU: Orang ramai terutamanya rakyat Kelantan masih berpeluang untuk membantu umat Islam di Palestin yang kini berdepan kezaliman zionis Israel melalui Tabung Serambi Mekah.

Pejabat Pembangunan Negeri sebagai urusetia tabung tersebut membuka peluang orang ramai menderma sehingga 19 Mei ini.

Sumbangan derma dibuka mulai 1 Syawal. Sumbangan boleh disalur melalui akaun Bank Islam – 03018010080024 atas nama Perbendaharaan Negeri Kelantan.

Advertisement

Perakuan bank terhadap sumbangan tersebut boleh di WhatsApp kepada Mohd Roshdi Ismail di talian 013 9015 602.

Pejabat Pembangunan dalam kenyataan semalam memberitahu sumbangan bagi membantu umat Islam di Palestin didahului Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dengan sumbangan peribadi sebanyak RM10,000.

Sebelum ini kerajaan Kelantan mengumum sumbangan daripada Tabung Serambi Mekah sebanyak RM100,000 bagi membela nasib umat Islam di Palestin.

Tabung Serambi Mekah yang diwujudkan sejak 30 tahun lalu sebelum ini digunakan bagi membantu rakyat Kelantan yang ditimpa musibah termasuk kebakaran dan ribut.

Malah kerajaan Kedah dan Terengganu turut mengumum sumbangan untuk membantu penduduk Islam di Palestin. Kedah memperuntukkan sebanyak RM200,000 manakala Terengganu melalui potongan sebulan gaji Menteri Besar dan anggota Exco.

Selain itu Sekretariat #Aid4Palestine dengan gandingan 40 diwujudkan atas inisiatif Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menyasar bantuan fasa pertama sebanyak RM350,000.

Sekretariat terbabit turut disertai PASRelief, Yayasan Amal Malaysia. Muslim Care dan Cakna Palestin Malaysia.

Manakala gabungan NGO yang dikenali sebagai My Aqsa Defenders pula menyasarkan kutipan RM10 juta bagi tujuan serupa untuk membela nasib umat Islam di bumi Palestin. – HARAKAHDAILY 15/5/2021