Hanya berdua sambut raya tanpa anak cucu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ramai menyifatkan sambutan hari raya kali ini agak sunyi apabila tidak lagi kelihatan aktiviti ziarah menziarah seperti lazimnya pada setiap sambutan Aidilfitri.

Tidak ramai yang berani keluar rumah biarpun menziarahi keluarga dan saudara berdekatan kerana bimbang dikompaun pihak berkuasa.

Malah suasana pagi raya juga begitu lengang, tidak banyak kenderaan yang lalu lalang, seolah-olah bukan suasana hari raya.

- Advertisement -

Begitu juga solat Aidilfitri di Kelantan begitu tidak lagi meriah apabila dihadkan bilangan jemaah sebagai usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Masjid negeri, bandar dan masjid mukim kategori A hanya dibenarkan 50 jemaah, masjid mukim 20 jemaah dan musalla empat orang.

Malah ada yang hendak menunaikan solat Aidilfitri terpaksa berpatah balik kerana kuota yang dibenarkan sudah penuh.

Seorang penduduk di pinggir bandar Kota Bharu Abdul Razak, 62 memberitahu imam masjid bandar memaklumkan jemaah hanya kalangan ahli jawatankuasa masjid dan jemaah tetap sahaja diberi keutamaan.

Keadaan itu katanya ramai solat Aidilfitri di rumah masing masing bersama ahli keluarga biarpun tanpa membaca khutbah.

“Asal dapat menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri tanpa khutbah pun kira ok lah,” katanya di sini.

Seorang bekas guru, Halimah, 79 berkata sekiranya suasana begini berterusan beliau yakin kes harian Covid-19 akan berkurangan dalam tempoh yang singkat di Kelantan.

Beliau hanya menyambut Hari Raya bersama suami memandang tiga anaknya yang bekerja di Kuala Lumpur tidak pulang ke kampung kerana larangan rentas negeri ekoran pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sejak Rabu lepas. – HARAKAHDAILY 13/5/2021

- Advertisement -