Pematuhan SOP di Kelantan makin tinggi

- Advertisement -

PASIR MAS: Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat mengucap tahniah kepada rakyat di negeri ini kerana dilihat patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila kenderaan di jalan raya, berkurangan hari ini.

Beliau berharap dengan pematuhan berkenaan menjadi amalan bagi mengurangkan kes harian Covid-19 sehingga rantaian wabak dapat diputuskan.

Beliau juga memohon rakyat di negeri itu bersabar dan mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa sepanjang sambutan lebaran.

- Advertisement -

Buat masa ini, katanya jika tiada keperluan atau kelulusan permohonan perjalanan, tidak perlu merentas daerah atau sempadan.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menyantuni petugas barisan hadapan di Markas Tektikal di Sekolah Kebangsaan Penggu, Bunut Susu, Pasir Mas.

Terdahulu beliau meninjau perkembangan Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Hamzah.

Beliau turut menyampaikan sumbangan badan bukan kerajaan yang diagihkan melalui Polis Kelantan untuk diserah kepada petugas barisan hadapan.

Shafien turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk di tiga Kampung iaitu Kampung Paya Ular, Tualang dan Bechah Palas kerana menjalani ujian saringan Covid-19 pertama, sepenuhnya.

Mengulas mengenai rentas sempadan, kata beliau masih terdapat kenderaan dari luar cuba merentas, namun jumlahnya semakin berkurangan.

“Usaha itu memang ada, khususnya sehari sebelum Aidifitri, namun jumlahnya tidak banyak.

“Terima kasih kepada semua rakyat Kelantan yang memahami tetang SOP yang ditetapkan kerajaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/5/2021

- Advertisement -