Muafakat Nasional Lipis kian kukuh berpadu

- Advertisement -

LIPIS: Program edaran kuih raya Muafakat Nasional Lipis ke seluruh parlimen ini yang dijayakan bersama oleh Muslimat PAS Kawasan dan Wanita Umno Bahagian sejak 6 Mei lalu telahpun berakhir semalam.

- Advertisement -

Kemuncak pelancarannya telah disempurnakan oleh Ketua Umno Lipis, Dato’ Seri Abdul Rahman Mohamad bersama Yang Dipertua PAS Lipis, Roslan Zainal di Dewan Orang Ramai Kampung Aur Gading, Kuala Lipis, Ahad lalu.

Majlis ini turut dihadiri ADUN Padang Tengku, Mustafa Long dan Ketua Wanita Umno Lipis, Senator Dato’ Siti Fatimah Yahya serta Ketua Muslimat PAS Lipis, Khatijah Jamal.

Edaran melibatkan tenaga anggota kedua-dua parti ini telah meliputi ketiga-tiga DUN dalam Parlimen Lipis iaitu Padang Tengku, Cheka dan Benta menyantuni lebih 300 keluarga asnaf miskin, sakit, warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya dan anak yatim.

Roslan sempat menyampaikan pesanannya berkaitan penularan COVID-19 ketika ini yang menuntut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sebagai kawalan agar perkembangan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas.

Beliau menambah, kesepakatan harus berterusan di antara PAS dan Umno agar dapat melahirkan kepimpinan yang berintegriti dan kuat serta mengukuhkan lagi Muafakat Nasional di Lipis khususnya dan Pahang amnya.

Khatijah juga berkata, hubungan di antara Muslimat PAS dan Wanita Umno harus dieratkan lagi agar penyatuan ini dapat di bina atas dasar Islam dan tanggungjawab, bukan atas dasar sebarang kepentingan peribadi.

Manakala Abdul Rahman dalam ucapannya menyifatkan program yang julung kali diadakan bersama ini sangat penting untuk memperlihatkan kepada masyarakat mustahaknya Muafakat Nasional.

Ia tegasnya, agar orang Melayu tidak berpecah belah lagi pada masa akan datang dan berharap orang Melayu tetap berpegang kepada kepimpinan Melayu Islam khususnya di negeri Pahang. – HARAKAHDAILY 12/5/2021

- Advertisement -