Bekalan makanan musim raya, PKP dijamin mencukupi

- Advertisement -

PASIR MAS: Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan berada pada tahap stabil dan mencukupi sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga berpatutan sepanjang musim perayaan.

“Bekalan makanan juga tidak mendatangkan masalah meski pun banyak lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak kebelakangan ini.

- Advertisement -

“MAFI sedia bekerjasama dengan KPDNHEP bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga yang berpatutan,” katanya ketika sidang media di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Sepat di sini semalam.

Malah katanya, sehingga kini pihaknya juga tiada sebarang masalah bagi memastikan bekalan makanan mencukupi, di samping menyelesaikan sebarang masalah yang timbul sepanjang tempoh PKP.

Selain itu katanya, kementerian melalui jabatan dan agensi di bawahnya mengambil pelbagai langkah-langkah bagi memastikan harga ikan dan sayuran adalah berpatutan di musim perayaan.

Antara langkah yang dilakukan melaksanakan sekatan eksport bagi spesies ikan terpilih pada pra dan pasca perayaan serta musim tengkujuh di bawah kaedah-kaedah Pemasaran ikan.

Selain itu katanya, pihaknya juga menyediakan stok simpanan ikan sejuk beku bagi menampung bekalan ikan di kawasan tengah, selatan, utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia mencukupi serta menggalakkan penggunaan dan pemilihan ikan segar sejuk beku (Q’Fish) sebagai alternatif kepada ikan segar basah.

Dalam pada itu katanya, kementerian turut meningkatkan pengeluaran tempatan dan menambahkan kuota import bagi beberapa makanan terpilih.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan Prihatin Tabung Bencana Tanaman Padi kepada 30 pesawah yang terbabit dalam bencana banjir serta ribut secara pandu lalu. – HARAKAHDAILY 12/5/2021

- Advertisement -