Walau sudah jadi kerajaan, sahabat terus menyumbang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang yang tidak putus-putus menyalurkan sumbangan ke akaun Pusat Khidmat Parlimen Pasir Mas untuk tujuan saluran bantuan ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Rupa-rupanya, walaupun sudah menjadi kerajaan, sahabat-sahabat masih tidak putus-putus menyumbang untuk berkongsi pahala dengan menyumbang kepada rakyat saya yang terkepung.

“Alhamdulillah, untuk pusingan pertama bakul makanan daripada pihak saya dan ADUN Tendong sepatutnya telah sampai ke setiap penerima yang berjumlah kitra-kira 500 keluarga,” ujarnya selaku Ahli Parlimen Pasir Mas.

- Advertisement -

Menurut beliau, gerak kerja pihaknya sangat terbatas kerana untuk masuk ke kawasan PKPD pun memerlukan izin khas daripada pihak keselamatan.

Katanya, apatah lagi untuk mengedarkan bantuan dari rumah ke rumah yang memerlukan tenaga sukarelawan yang ramai, tentu sahaja tidak mampu untuk dilakukan.

Justeru, tambahnya bantuan hanya dapat diturunkan di satu lokasi sahaja untuk satu kampung dan keluarga terbabit perlu menghantar wakil untuk mengambilnya.

“Saya dimaklumkan pihak JKM akan mula menghantar bahan makanan, dan saya hanya dibenarkan menyalurkan bantuan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB),” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau.

Beliau berharap usaha-usaha untuk terus menyalurkan bantuan terutama bahan makanan basah tidak tergendala selepas ini.

“Di dalam perancangan, Insya-Allah kita cuba bekalkan sedikit sebanyak bahan dapur untuk beberapa pusingan lagi selepas ini.

“Semoga ia dapat meringankan beban yang ditanggung oleh semua pihak dalam kawasan PKPD,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 11/5/2021

- Advertisement -