Tulisan ilmiah Presiden PAS jadi mangsa ‘kemalasan’

- Advertisement -

SAYA membaca ulasan akhbar utama negara. Sama ada Berita Harian atau Sinar. Mereka mengulas tulisan panjang Presiden PAS berkaitan pemisahan kuasa. Bagi saya tajuk yang dibuat berniat jahat dan provokasi.

Saya belum mahu mengulas isi tulisan Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) yang sangat ilmiah namun diulas secara sampah. Pemain media sangat faham sifat malas rakyat Malaysia dalam membaca dan berfikir tetapi rajin mengulas dan komen. Sayangnya rajin dari kemalasan adalah kebodohan bertingkat. Agak keras, tetapi itulah hakikat.

- Advertisement -

Wartawan jugalah yang menjadi pencetus ulasan SS Mufti Wilayah dalam isu haram balik kampung. Syarah ilmiah di UKM oleh SS Mufti yang sarat dengan ilmu menjadi sampah yang busuk di dalam masyarakat.

Ia disambut oleh netizen yang malas membaca tetapi rajin mengulas. Malas adalah penyakit. Ia virus yang mudah tersebar. Lebih malang ia melahirkan penyakit bodoh. Kebodohan sangat bahaya apabila berjangkit kepada mereka yang sememangnya ada penyakit ego dan serba tahu. Ia jadi penyakit tiga serangkai dan terus berangkai dalam masyarakat.

Lihat sahaja apa kesan kepada ulasan ilmiah SS Mufti di UKM yang dipetik secara sampah oleh wartawan. Mungkin mereka mengejar tarikan dan perhatian melebihi etika hingga lupa dosa pahala di bulan mulia. Penyakit berangkai akhirnya melahirkan letupan kebodohan tahap maksima hingga cabaran terbuka kepada SS Mufti.

Situasi itu berlaku kepada Mufti yang tiada kontroversi, berbicara dalam universiti, seorang ahli akademik yang tidak punyai musuh seperti ahli politik apatah lagi Presiden parti seperti TGHH. 

Sebelum saya mengulas tulisan TGHH yang penuh ilmiah dan berdalil, saya cadangkan supaya mana-mana netizen yang punyai semangat juang yang tinggi ini merujuk sumber asal. Lawatilah page TGHH dan carilah tajuk pemisahan kuasa yang diulas di situ. Saya juga telah kongsikan beberapa hari lalu dalam Facebook saya.

Saya yakin, meninggalkan kemalasan adalah rawatan pertama menyembuhkan penyakit berangkai seperti mangkuk tingkat ini. Jika tulisan ilmiah itu masih belum mampu merawat penyakit berangkai yang ada, tidak perlu membaca ulasan saya nanti yang tentunya lebih ringkas tanpa dalil kerana saya akan menulis untuk si pemalas dan rakan-rakan yang ingin membantu saya memberi kefahaman kepada pemalas.

Maaf jika bahasa yang saya gunakan agak keterlaluan. Ada masanya untuk mereka yang menjerit sawan tanpa sebab dan alasan, doktor akan beri suntikan untuk ditidurkan. Bila bangun nanti, saya akan beri ubat lain. Tidurlah dulu.

https://www.facebook.com/146911248727335/posts/3940242692727486/

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 11/5/2021

- Advertisement -