Etika, ‘rating’, kematangan dan kebebasan media

- Advertisement -

SUDAH berkali-kali saya sentuh, para pengamal media mesti beretika ketika menjalankan tugas mereka. Saya kecewa dengan sebahagian sikap media perdana atau alternatif yang hanya mencari publisiti, sensasi dan berusaha menaikkan ‘rating’ semata-mata tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat.

Para pengamal media sepatutnya membangunkan rakyat dengan ilmu dan maklumat yang tepat agar rakyat di negara kita dapat menjalani kehidupan dengan suasana yang harmoni serta dapat berpolitik secara sihat, matang dan sejahtera.

- Advertisement -

Pentas politik bukan sarkas untuk dijadikan tempat sensasi, tetapi ia adalah tempat untuk menyuburkan budaya demokrasi, berkhidmat kepada rakyat dan membangun kemajuan negara. Sekiranya pengamal media menjadikan dunia politik sebagai bahan sensasi atau sarkas hiburan untuk dijadikan bahan jenaka rakyat, maka negara Malaysia akan terus mundur ke belakang.

Sepatutnya media menjadi platform utama membangun kematangan dan ketamadunan dalam kalangan rakyat, namun sedih sebaliknya yang berlaku. Semalam tulisan Tuan Guru Presiden PAS sekali lagi dieksploitasikan sebagai bahan sensasi oleh beberapa pengamal media sehingga membawa kepada maksud yang disalahertikan.

Apa yang ditekankan oleh Tuan Guru Presiden PAS di dalam artikel tersebut ialah etika profesional di dalam melaksanakan tugas sebagai penjawat awam. Isi kandungan yang paling utama di dalam artikel tersebut dapat dilihat melalui analogi yang diberikan oleh Tuan Guru Presiden iaitu sekiranya pemain bola yang berasal daripada Negeri Kedah namun bekerja dengan pasukan bola Negeri Selangor. Dia tetap dan wajib perlu bermain secara profesional dalam perlawanan antara Negeri Selangor dan Negeri Kedah walaupun perlawanan tersebut menentang negeri kelahirannya sendiri.

Mesej utama yang ingin disampaikan ialah sekiranya terdapat mana-mana penjawat awam yang tidak dapat menghayati serta melaksanakan polisi yang ditetapkan kerajaan semasa mereka mempunyai pilihan (jalan akhir) untuk memilih pekerjaan yang lain.

Nilai yang ditekankan di sini ialah kebebasan bagi mereka yang tidak bersedia untuk berkerja dengan majikan (Kerajaan semasa) yang mempunyai aspirasi bertentangan dengan pendirian hidup diri mereka. Ianya bukan satu bentuk ugutan tetapi adalah satu bentuk kebebasan untuk memilih.

Link artikel penuh Tuan Guru Presiden: https://www.facebook.com/abdulhadiawang/posts/3940242692727486

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 11/5/2021

- Advertisement -