Memohon bantuan hanya daripada Allah SWT

- Advertisement -

ALLAH SWT telah menegaskan bahawa tiada kejayaan dan kemenangan melainkan hanya melalui bantuan-Nya. Allah menghantar bantuan melalui pelbagai wasilah kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan menjadikan musuh orang beriman berada dalam kesusahan akibat tipu daya mereka sendiri. Allah SWT berfirman:

أَمَّنۡ هَـٰذَا ٱلَّذِی هُوَ جُندࣱ لَّكُمۡ یَنصُرُكُم مِّن دُونِ ٱلرَّحۡمَـٰنِۚ إِنِ ٱلۡكَـٰفِرُونَ إِلَّا فِی غُرُورٍ)(أَمَّنۡ هَـٰذَا ٱلَّذِی یَرۡزُقُكُمۡ إِنۡ أَمۡسَكَ رِزۡقَهُۥۚ بَل لَّجُّوا۟ فِی عُتُوࣲّ وَنُفُورٍ

Maksudnya: “Bahkan siapa yang menjadi tentera bagi kamu, yang akan menolong kamu selain daripada Allah Yang Maha Pemurah? (Sebenarnya) orang-orang yang kafir tidak lain hanyalah berada dalam keadaan terpedaya. Atau siapa yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezeki-Nya? (Tidak ada sesiapapun), bahkan mereka (yang musyrik itu) kekal terus dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri (daripada kebenaran)”. (Al-Mulk: 20-21)

Allah SWT menegaskan bahawa Dia berkuasa menghantar pelbagai tenteranya membantu para hamba-Nya yang soleh. Adakala tenteranya tersebut dalam kalangan malaikat yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia, adakalanya ia dalam bentuk angin, hujan, manusia, burung dan lain-lain. Al-Syahid Dr. Abdullah Azzam ketika meriwayatkan kisah perang di Afghanistan, para mujahidin seringkali dibantu oleh tentera-tentera Allah seperti sekawan burung yang menyerang jet perang, binatang buas yang menerkam musuh mereka, bom dan peluru musuh yang tidak meletup dan tembakan mujahidin sangat tepat mengena sasaran.

- Advertisement -

Hakikatnya, umat Islam berperang bukan kerana ingin membunuh atau merampas hak orang lain. Sebaliknya, peperangan dalam Islam adalah bertujuan untuk mempertahankan agama dan nyawa ummah. Islam adalah agama perdamaian dan tidak suka kepada keganasan. Buktinya apabila Islam berjaya menakluki mana-mana wilayah tidak ada dalam sejarah berlaku pemaksaan menukar agama dan penyeksaan terhadap tawanan perang. Dalam berperang, tentera Islam tidak boleh untuk mencedera apatah lagi membunuh kanak-kanak dan orang tua. Inilah kemuliaan Islam serta kerahmatan yang diterapkan kepada semua manusia tidak terhad hanya kepada Muslim sahaja.

Walaupun musuh Islam dalam kalangan musyrikin dan orang munafik yang berada bersama musyrikin sentiasa memerangi umat Islam, Islam tetap berbuat kebaikan kepada mereka dalam hubungan sosial. Bahkan umat Islam boleh berjiran dengan mereka serta berada dalam komuniti mereka sekiranya diyakini selamat. Jika golongan bukan Islam bersikap ekstrem dan memudaratkan kehidupan orang Islam, maka orang Islam hendaklah berhijrah dan meninggalkan komuniti mereka. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW, daripada Jarir bin Abdillah R.A:

بَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَرِيَّةً إِلَى خَثْعَمٍ فَاعْتَصَمَ نَاسٌ مِنْهُمْ بِالسُّجُودِ ، فَأَسْرَعَ فِيهِمُ الْقَتْلَ، قَالَ : فَبَلَغَ ذَلِكَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فقال : أَنَا بَرِيءٌ مِنْ كُلِّ مُسْلِمٍ يُقِيمُ بَيْنَ أَظْهُرِ الْمُشْرِكِينَ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ؟ قَالَ: لَا تَرَاءَى نَارَاهُمَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menghantar sepasukan sariyyah (ekspedisi tentera) ke Khath’am (sebuah kawasan di luar Mekah), dan sekumpulan Muslim yang tinggal di sana bersujud kepada Allah dan meminta perlindungan daripada dibunuh namun pasukan tentera Muslim telah membunuh mereka. Apabila Rasulullah SAW mengetahui perkara ini, Baginda memerintahkan agar diberi kepada keluarga mangsa separuh daripada jumlah diyat, lalu bersabda: Aku berlepas diri daripada setiap Muslim yang tinggal dalam kalangan orang musyrikin. Para sahabat bertanyakan sebabnya, lalu Baginda menjawab: Mereka (Muslim dan musyrikin) tidak sepatutnya melihat api satu sama lain (kiasan berdekatannya rumah satu sama lain)”. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Imam Ibnu Hajar Al-Haithami menjelaskan bahawa hadis berlepas dirinya Rasulullah SAW daripada Muslim yang tinggal dalam kalangan kuffar merujuk kepada mereka yang tidak selamat agama mereka daripada diancam oleh puak kuffar. Adapun bagi yang aman daripada fitnah dan selamat akidah mereka maka tidak diharamkan, bahkan mereka digalakkan tinggal di situ jika ia memberi maslahah kepada umat Islam. Hal ini juga telah dinyatakan oleh Imam Syihabuddin Al-Ramli dalam Nihayah Al-Muhtaj bahawa sunat seseorang Muslim untuk berhijrah, dan bukannya wajib bagi yang tinggal di negara kuffar jika dia mampu menzahirkan agamanya tanpa apa-apa mudarat.

Apapun, umat Islam mesti menonjolkan qudwah yang baik walau di mana sahaja mereka menetap dan hendaklah meletakkan keyakinan teguh hanya kepada Allah, walaupun mereka dikerumuni oleh begitu ramai musuh bahawa kuasa Allah sahaja yang boleh memberi mudarat atau manfaat. Golongan kuffar yang angkuh sombong serta lengkap dengan pelbagai persediaan material, pasti tewas dengan keangkuhan dan perancangan mereka sendiri. Kelengkapan persediaan mereka juga adalah dalam keizinan Allah SWT jua. Jika keyakinan teguh umat Islam terpasak di hati mereka bahawa Allah Penolong mereka, sudah pasti Allah akan membantu mereka. Allah hanya ingin melihat sejauh mana pergantungan mereka kepada Allah.

Marilah kita bermunajat memohon kepada Allah agar diberi ketenangan dan kemenangan kepada saudara kita di bumi Al-Aqsa yang terpaksa berhadapan dengan rejim Zionis ketika ini. Setiap kali Ramadhan mereka sentiasa diuji dan Masjid Al-Aqsa dinodai oleh musuh Allah tanpa mereka menghormati sedikitpun bulan kebesaran Islam. Bantulah saudara-saudara kita dengan kemampuan masing-masing khasnya memperbanyakkan doa agar Allah memberi kemenangan kepada Murabithin di sana serta memberi kehinaan kepada para musuh Islam.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
29 Ramadhan 1442/11 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 11/5/2021

- Advertisement -