Majlis Tilawah, Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan ditangguh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin memaklumkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1442/2021 ditangguhkan.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata penangguhan itu atas persetujuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk MTHQK.

- Advertisement -

Katanya, MTHQK yang dijadualkan pada 13 hingga 18 Jun depan di World Trade Centre Kuala Lumpur ditangguhkan sehingga ke satu tarikh dalam tahun ini juga yang akan dimaklumkan kelak.

Menurutnya, penangguhan itu dibuat selaras dengan keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula pada 12 Mei 2021 hingga 7 Jun 2021 seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Keputusan ini juga adalah wajar dengan mengambil kira situasi pandemik Covid-19 semasa di samping kekangan masa serta keterbatasan pergerakan jawatankuasa-jawatankuasa dalam melaksanakan kerja-kerja persiapan MTHQK 1442H/2021M di sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, bagi pihak Jawatankuasa Induk MTHQK, JAKIM ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas komitmen negeri-negeri yang telah membuat persiapan bagi menyertai MTHQK pada tahun ini.

“Semoga Allah SWT memberi kemudahan kepada semua untuk menjayakan MTHQK di masa akan dating,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 11/5/2021

- Advertisement -