Kelantan sedia peralatan di PKRC Gelanggang Seni

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan akan memiliki sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dengan mengambil kira penularan kes Covid-19 di negeri itu kebelakangan ini.

PKRC kelapan akan beroperasi di Gelanggang Seni dekat sini dijangka digunakan dalam masa terdekat bakal menempatkan pesakit tahap satu, dua dan tiga.

PKRC di Gelanggang Seni bakal dilengkapi dengan 30 katil perubatan bagi menempatkan kes-kes Covid-19 khususnya tahap 3.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKRC tersebut akan dilengkapi bekalan oksigen mudah alih, mesin elektrokardiogram (ECG) dan kelengkapan perubatan lain.

“PKRC Khas Gelanggang Seni juga akan menyediakan 70 katil dua tingkat untuk sejumlah 140 pesakit bagi menempatkan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2.

“Kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan RM213,000 bagi menyediakan 30 katil lengkap dengan cardiac table dan ‘side cabinet’ bagi kegunaan pesakit dan empat peralatan pemantauan pesakit,” katanya pada catatan di media sosialnya.

PKRC yang beroperasi sebelum ini iaitu Dewan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Tanjong Chat, Kompleks Balai Islam, Lundang dan juga Dewan Jubli Perak, Panji.

PKRC Kampus Kesihatan USM di Kubang Kerian merupakan PKRC terbesar di Kelantan yang mampu menampung 500 pesakit lelaki.

PKRC lain yang terdapat di Kelantan sebelum ini termasuk dewan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa dan Dewan Jubli Perak MPKB BRI di Jalan Mahmood.

PKRC Gelanggang Seni turut menempatkan peralatan Emergency Trolley dan peralatan ECG yang disumbang Puan Sri Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra.

Sementara itu anggota Exco kerajaan negeri Dr Izani Husin berkata, peningkatan jumlah kes harian Covid-19 di Kelantan semalam sebanyak 329 kes.

Katanya, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Kelantan sehingga semalam sebanyak 17,430 kes.

“Terdapat satu kluster baharu direkodkan semalam. Kadar kebolehjangkitan (Rt) di Kelantan 0.96 manakala Rt Nasional 1.11.

“Covid-19 berada dalam komuniti. Jangan hadir tempat sesak. Terus patuhi SOP yang telah ditetapkan demi kebaikan bersama. Tubik rumah pakai mask, kelik rumah basuh tangan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/5/2021

- Advertisement -