500 kenderaan cuba masuk Kelantan diarah berpatah balik

- Advertisement -

PASIR MAS: Sebanyak 500 kenderaan yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran diarah patah balik ketika cuba melepasi sekatan jalan raya utama untuk masuk ke negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, individu yang terlibat itu bukan sahaja tidak memilik dokumen perjalanan yang sah tetapi turut memberi alasan yang tidak munasabah.

- Advertisement -

Malah, pihaknya juga telah mengesan taktik baharu yang cuba digunakan oleh individu yang terlibat dengan mencetak dokumen merentas negeri melalui laman sesawang rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa mempunyai cop pengesahan dari mana-mana balai polis.

Tindakan itu dipercayai merupakan satu cara yang cuba mengaburi mata anggota yang bertugas dan dilihat mencuba nasib untuk merentas negeri, katanya.

Bagaimanapun katanya, cubaan taktik itu telah dikesan menerusi pemeriksaan yang dilakukan oleh anggota bertugas ketika sekatan jalan raya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang meninjau penugasan anggota keselamatan di Mukim Bunut Susu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), malam tadi. Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir.

Dalam pada itu juga katanya, polis Kelantan turut mengesan tiga keluarga yang berbuat demikian dan telah diarahkan berpatah balik serta diberikan kompaun.

Mengulas lanjut, beliau juga telah mengarahkan kesemua ketua polis di sempadan agar melakukan pemeriksaan ketat supaya tiada individu yang dapat membolosi pintu masuk ke negeri ini dengan mudah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Terdahulu, beliau membuat tinjauan di dua sekatan jalan raya dalam Mukim Bunut Susu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan tiga kampung iaitu Kampung Paya Ular, Tualang dan Bechah Palas yang berkuatkuasa 9 sehingga 22 Mei.

Jelas beliau, seramai 117 anggota yang terdiri daripada anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut terbabit dalam penugasan di 13 sekatan jalan raya sempena PKPD itu. – HARAKAHDAILY 9/5/2021

- Advertisement -