Cegah nifak dalam komuniti

- Advertisement -

ALLAH SWT sangat murka kepada golongan munafik yang menampakkan keimanan pada zahirnya. Golongan ini sentiasa menyusahkan umat Islam sepanjang zaman hatta pada zaman Rasulullah SAW mereka telah menghina kedudukan mulia Rasulullah apabila berada dalam kelompok mereka. Allah SWT berfirman:

وَمِنۡهُم مَّن یَسۡتَمِعُ إِلَیۡكَ حَتَّىٰۤ إِذَا خَرَجُوا۟ مِنۡ عِندِكَ قَالُوا۟ لِلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡعِلۡمَ مَاذَا قَالَ ءَانِفًاۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ ٱلَّذِینَ طَبَعَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ وَٱتَّبَعُوۤا۟ أَهۡوَاۤءَهُمۡ

Maksudnya: “Dan di antara mereka (yang hadir di majlismu wahai Muhammad, ialah orang-orang munafik) yang mendengar ajaranmu (dengan sambil lewa), sehingga apabila mereka keluar daripada sisimu berkatalah mereka (secara mengejek-ejek) kepada orang-orang yang diberi ilmu (daripada kalangan sahabat-sahabatmu yang setia): Apa yang dikatakan oleh Muhammad tadi? Mereka (yang munafik) itu ialah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah atas hati mereka dan mereka adalah orang-orang yang menurut hawa nafsunya”. (Muhammad: 16)

- Advertisement -

Komuniti umat Islam akan huru-hara dengan adanya puak munafik yang sentiasa mencari jalan untuk melemahkan umat Islam. Dahulu, adanya Abdullah bin Ubai bin Salul yang bertindak jahat dalam masyarakat menyebabkan kekacauan dan porak peranda berlaku. Mereka hadir ke masjid, mendengar khutbah dan ucapan Rasulullah SAW, menunjuk-nunjukkan diri mereka sebagai orang Islam secara pura-pura.

Namun, mereka tidak percaya dosa pahala dan hanya mencari kesenangan dunia semata-mata dengan mempercayai apa yang dilihat dengan mata sahaja. Oleh sebab tidak yakin kepada Islam, mereka bersengkokol dengan orang-orang yang bukan Islam yang menjadi musuh ketat Islam.

Para sahabat Nabi, orang yang paling kuat keimanannya, adalah orang yang paling takut terjebak dengan sifat munafik ini dan mereka berusaha menjauhkan diri daripadanya. Ini boleh dilihat menerusi sikap Sayyidina Umar bin Al-Khattab R.A yang sangat risau jika sifat ini ada padanya. Beliau memberanikan diri bertanya kepada Huzaifah R.A yang merupakan pemegang rahsia Nabi SAW dan mengetahui senarai nama golongan munafik. Apabila dinyatakan nama beliau tidak tersenarai, itulah kebahagiaan hakiki yang beliau telah kecapinya.

Golongan munafik zaman ini bukan sahaja menabur fitnah dan mengada-adakan cerita tidak benar untuk melaga-lagakan sesama umat Islam, mereka menggunakan teknologi canggih hanya dengan sekeping gambar sahaja sudah cukup menyebabkan fitnah besar tersebar.

Zaman kini, posting dan penulisan dalam media sosial juga termasuk dalam kategori ‘perkataan’ yang jika baik posting tersebut, maka akan beroleh pahala. Sebaliknya jika posting yang berniat jahat maka ia sama seperti ucapan khianat yang mendapat dosa dan seksa. Nabi SAW telah memberi peringatan agar tidak bercakap dalam perkara yang tidak diketahui kebenarannya  melalui sabdanya:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِق

Maksudnya : “Seorang hamba itu apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” (Riwayat Al-Bukhari)

Sementara dalam sebuah hadis lain dinyatakan:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ لاَ يُلْقِي لَهَا بَالًا يَرْفَعُهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَاتٍ وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لاَ يُلْقِي لَهَا بَالًا يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ

Maksudnya: “Seseorang hamba yang bercakap tentang satu perkataan yang diredhai Allah yang mana dia tidak terlintas (untuk bercakap tentangnya) maka Allah akan mengangkat darjatnya. Manakala seseorang hamba yang bercakap tentang satu perkataan yang dimurkai Allah yang dia sendiri tidak terlintas (untuk bercakap tentangnya dan tidak dipastikan kebenarannya) maka dia dihumban ke dalam neraka Jahannam.” (Riwayat Al-Bukhari)

Oleh itu, sempena Ramadhan yang mulia ini, marilah sama-sama kita mendidik diri untuk menjadi hamba Allah yang benar-benar patuh arahan-Nya dan membuang segala sifat yang dimurkai-Nya. Jangan ada dalam kalangan kita yang suka mengumpat, memfitnah dan membuat sindiran tajam yang melukakan perasaan orang tidak bersalah.

Pada hari ini dengan perkembangan teknologi semasa, terlalu banyak berita dan maklumat yang tersebar tidak diketahui kesahihannya. Pastikan dahulu berita tersebut dan turutilah langkah-langkah bertindak yang diizinkan oleh Syariat Islam dan jangan cepat-cepat bertindak dengan kemarahan ataupun nafsu yang tidak stabil. Ingatlah dosa pahala dan ingatlah syurga neraka.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
26 Ramadhan 1442/08 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 8/5/2021

- Advertisement -