KOTA BHARU: Urusan Ulamak PAS Kota Bharu turut terpanggil mendekati golongan asnaf dengan mengagihkan keperluan harian sempena Ramadan dan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.
Timbalan Ketua Urusan Ulamak PAS kawasan berkenaan Ustaz Azhari Ab Rahman berkata, dalam melayari detik kehidupan perlu setiap daripada kita menyelami kesusahan orang lain.
Katanya ramai lagi di luar sana yang memerlukan perhatian dan peduli setiap anggota masyarakat dengan berkongsi rezeki bersama mereka.
“Urusan Ulamak berkunjung ke rumah mereka sambil bertanya khabar tentang kesihatan, anak-anak dan kesusahan hidup terutamanya di musim Covid-19 sekarang.
“Kami mengambil sikap prihatin terhadap golongan asnaf di kawasan Parlimen Kota Bharu untuk memberi sumbangan keperluan dapur terutamanya di Dun Tanjung Mas dan Dun Bunut Payung sempena Ramadan sekarang,” katanya di sini.
Menurutnya sebanyak 60 bakul makanan diagih kepada golongan terbabit hasil kolaborasi dengan Jakel Textile dan Pegawai Agama Jajahan Kota Bharu.
Kata beliau semoga sumbangan tersebut dapat menceriakan sedikit keluarga mereka dalam suasana agak sukar sekarang berikutan penularan pandemik Covid.
Menurutnya juga usaha seperti itu akan diteruskan pada masa akan datang sebagai tanggungjawab sosial Urusan Ulamak PAS kepada masyarakat.
Oleh itu Azhari turut mengajak dermawan budiman berkongsi pahala untuk saham akhirat dengan menyumbang dana bagi membolehkan sumbangan secara berterusan diagih kepada golongan asnaf.
Sumbangan boleh disalur melalui akaun Bank Islam: 03139010016594 atas nama Urusan Ulamak Kawasan Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 8/5/2021