Asnaf di 12 kampung dibantu PAS Kinabatangan

- Advertisement -

KINABATANGAN: Seramai 60 golongan asnaf dan fakir miskin di 12 kampung di sekitar Kinabatangan menerima sumbangan bakul makanan disumbang PAS kawasan Kinabatangan.

Program Semarak Kasih Ramadan itu dianjurkan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kinabatangan diadakan di Dataran Saadah, Kampung Lot M kelmarin.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kinabatangan, Inah Tuton berkata program tersebut bertujuan berkongsi kegembiraan bersama golongan asnaf untuk menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi.

“Kami sangat menyedari ramai penduduk yang terjejas akibat pandemik Covid-19 terutamanya golongan asnaf yang tersepit dengan keadaan sekarang.

“Atas keprihatinan itu, kami lancarkan bakul makanan yang terdiri daripada barang keperluan dapur bagi meringankan beban dan memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan dalam keadaan tidak menentu sekarang,” katanya pada program berkenaan.

Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS kawasan berkenaan, Lias Titing pula berkata, bakul makanan terbabit diagihkan melalui wakil yang dilantik di setiap kampung untuk disampaikan kepada penerima yang dikenal pasti.

“Seperti mana tahun sebelum ini, sumbangan juga diberikan kepada 30 tenaga pendidik di PASTI dan SRITI Kinabatangan sebagai menghargai pengorbanan yang mereka lakukan,” ujarnya yang juga ahli Jawatankuasa Pengurusan dan Komuniti Kampung (JPKK) Kampung Warisan.

“Kami sangat berterima kasih kepada semua penderma yang menyalurkan sumbangan kewangan terutamanya NGO yang menyumbang 100 kampit beras untuk menjayakan program kali ini,” tambahnya.

Turut hadir menyaksikan majlis penyerahan sumbangan tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Kinabatangan, Abdul Aziz Baitul Makmur. – HARAKAHDAILY 8/5/2021

- Advertisement -