Rentas negeri: Berakhlak Islam di media sosial

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan orang ramai agar dapat mengawal perasaan dan tingkah laku di media sosial berhubung keputusan kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti rentas negeri dilakukan sempena meraikan Aidilfitri.

Ketuanya, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, melepaskan nafsu amarah secara membuta tuli di media sosial bukanlah tindakan yang baik bagi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.

“Budaya toksik dan melepaskan geram yang melampaui batas di dalam media sosial kebelakangan ini bukanlah gambaran sebenar nilai dan kematangan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Saya percaya kita rakyat Malaysia adalah lebih baik daripada ini. Apa yang perlu kita lakukan ialah kembali kepada radar Islam dengan banyakkan bersabar di atas setiap ujian yang diberikan oleh Allah.

Advertisement

“Berakhlak di media sosial dengan akhlak Islam dengan mengamalkan konsep tabayyun first. Kita sedang berperang dengan wabak yang telah melumpuhkan sistem kehidupan manusia yang telah menjadi amalan sejak sekian lama,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Menurut beliau, permohonan kebenaran rentas negeri tidak wajar dijadikan tiket pelepasan untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri, sedangkan ia seharusnya digunakan atas dasar keperluan sahaja.

“Menipu semata-mata untuk menyambut Aidilfitri adalah ditegah dalam Islam. Nyawa boleh melayang kerana penipuan dan apabila kita hilangnya kejujuran. Tiada kebaikan pada sebuah penipuan,” tegas beliau.

Justeru katanya, pihak bertanggungjawab yang meluluskan borang permohonan perlu memainkan peranan dalam meluluskan permohonan berkenaan serta tidak melibatkan sebarang permainan kroni.

“Mereka perlu menggunakan budi bicara serta empati terbaik dalam memberikan kebenaran ke atas permohonan rentas negeri.

“Jangan memberikan kelulusan kepada mereka yang berkepentingan dengan anda. Penipuan dalam menjalankan tugas juga perlu dihentikan,” tegas Khairil.

Sehubungan itu katanya, seluruh rakyat di negara ini perlu memainkan peranan dalam usaha untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 yang kian merebak.

“Pengorbanan dan kesabaran semua rakyat Malaysia terus dituntut untuk kita menang melawan Covid-19.

“Islam mengajar kita agar meninggalkan penipuan dan membangunkan masyarakat dengan nilai kejujuran,” ujarnya seraya mengajak orang ramai agar merebut peluang 10 terakhir Ramadan untuk bermunajat kepada Allah. – HARAKAHDAILY 4/5/2021