PKP: Patuhi SOP sambut Aidilfitri

PUTRAJAYA, 10 April -- Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sambutan Aidilfitri dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengawal dan menurunkan angka penularan Covid-19 yang semakin meningkat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tempoh masa dan jumlah pengunjung berbeza di kawasan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

- Advertisement -

“Bagi kawasan PKP, ianya dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran tidak melebihi 15 orang pada satu masa mengikut saiz rumah dan mematuhi penjarakan fizikal.

“Bagi kawasan PKPB dan PKPP, ziarah hari raya dibenarkan iaitu pada 1 sehingga 3 Syawal,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa, di kawasan PKPB, kehadiran tetamu hanya 20 orang bagi satu masa, manakala di kawasan PKPP kehadiran tetamu tidak boleh melebihi 25 orang mengikut saiz rumah dan ada penjarakan fizikal.

“Jika rumah kecil dan tidak boleh lakukan penjarakan fizikal, jumlah 25 orang terlalu ramai maka kita tidak benarkan,” katanya lagi.

Namun begitu, Ismail Sabri turut berkata bahawa kerajaan tidak membenarkan bagi kawasan PKPD untuk berziarah hari raya kecuali hanya ahli keluarga dalam rumah sahaja.

Seterusnya, mengenai kebenaran solat sunat Aidilfitri, Ismail Sabri berkata, ia tertakluk kepada masjid dan surau yang terletak di kawasan PKP, PKPB dan PKPP sahaja.

Walau bagaimanapun, masjid dan surau yang berada di kawasan PKPD juga masih tidak dibenarkan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Oleh demikian, ketetapan SOP solat sunat Aidilfitri akan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

“Bagi menentukan siapa boleh hadir sama ada wanita atau kanak-kanak, ia terletak di bawah keputusan pihak berkuasa agama negeri yang akan memaklumkan kepada setiap masjid dan surau di negeri masing-masing,” jelasnya.

Tambahnya lagi, amalan takbir solat sunat Aidilfitri dari rumah ke rumah tidak boleh dijalankan di semua kawasan PKP, PKPD, PKPB dan PKPP.

Juga, ujarnya penganjuran rumah terbuka sempena Aidilfitri, turut tidak dibenarkan di kawasan PKP, PKPD, PKPB dan PKPP.

Beliau berkata jamuan selepas solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau di kawasan PKP dan PKPD turut dilarang.

Bagaimanapun katanya, jamuan hari raya dibenarkan dianjurkan di masjid dan surau membabitkan kawasan PKPB serta PKPP tertakluk pada ketetapan pihak berkuasa agama negeri.

“Jawatankuasa masjid dan surau digalakkan walaupun pihak berkuasa agama negeri boleh tentukan tetapi kita galakkan atau nasihatkan juadah berbungkus diedarkan kepada jemaah untuk dibawa pulang,” katanya.

Menurutnya, kerajaan membenarkan aktiviti ziarah kubur sempena Aidilfitri namun hanya di kawasan PKPB dan PKPP dengan adanya pematuhan SOP yang ditetapkan.

Menurut beliau, aktiviti ziarah kubur di kawasan PKP dan PKPD tidak dibenarkan.

“Ziarah tanah kubur bagi kawasan PKPB dan PKPP dengan syarat yang hadnya tidak melebihi enam orang bagi satu lot atau petak kubur serta tidak melebihi daripada 30 minit,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 4/5/2021

- Advertisement -