Komitmen berterusan bangun negara sejahtera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suasana semasa negara menuntut komitmen yang bersungguh-sungguh dan berterusan bagi membangunkan sebuah negara yang sejahtera.

Sehubungan itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh menegaskan perjuangan yang diamanahkan oleh Allah SWT mesti digalas dan dilaksanakan sebaik-baiknya.

“Setiap apa yang kita lakukan bukanlah untuk orang lain tetapi sebenarnya adalah untuk ‘survival’ diri kita di dunia dan apatah lagi bila bertemu dengan Allah SWT.

- Advertisement -

“Jika kita benar-benar laksanakan jihad untuk memenangkan Islam dalam diri kita, keluarga kita, masyarakat, negara dan dunia ini semata-mata kerana Allah SWT, meski dalam jangka waktu yang pendek ini mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang bahagia di dunia dan di akhirat kelak insya-Allah,” ujar beliau pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

Tambahnya, hakikat sebenar untuk berada dalam kepimpinan negara adalah mesti untuk memandu manusia agar tunduk dan patuh kepada titah perintah Allah SWT.

“Dalam sedikit masa sahaja lagi berbaki Ramadan bersama kita ini, ambillah peluang ini untuk banyak-banyak berdoa kepada Allah SWT agar pejuangan menegakkan Islam ini diberikan kejayaan oleh Allah SWT.

“Marilah kita terus berusaha sedaya upaya untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT dan melakukan segala gerak kerja dengan penuh disiplin, bersungguh-sungguh dan sabar menghadapi susah payah yang sangat sekejap dan sangat jauh berbeza dengan susah payah hari akhirat nanti.

“Walaupun ada ketika kita merasa payah, ingatlah payah dalam kubur, payah di padang mahsyar, semua itu hakikatnya lagi dahsyat daripada segala alasan yang mungkin kita berikan dalam kehidupan yang sementara ini,” ujarnya.

Beliau turut mengajak semua hadirin untuk terus menghidupkan bulan Ramadan ini dengan keimanan dan sentiasa mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT agar termasuk dalam golongan orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat. – HARAKAHDAILY 4/5/2021

- Advertisement -