Covid-19: MB Kelantan hargai petugas barisan hadapan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, merakamkan ucapan penghargaan kepada petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik Covid-19 di negeri ini.

- Advertisement -

Katanya, mereka antara petugas yang sentiasa ke hadapan sejak awal hingga kini dalam menjalankan kewajipan itu bagi menangani masalah berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid -19 Berisiko Rendah (PKRC) di Jubli Perak, di sini, hari ini.

“Petugas barisan hadapan pelbagai agensi sentiasa berkorban demi menjaga keselamatan orang ramai, pesakit di pusat-pusat kuarantin agar mereka yang dikuarantin dalam keadaan baik,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau mengucapkan terima kasih pada semua pihak yang sentiasa menyumbang kepada PKRC dalam pelbagai bentuk.

“Apapun sempena bulan Ramadan ini kita berharap semua pihak dapat memenuhi keisitimewaan bulan Ramadan dengan amal ibadat dan berzikir,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Kelantan menjaga penjarakan sosial yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Menurutnya, walaupun mereka telah dijangkiti virus berkenaan, meraka harus kekal mematuhi SOP.

Turut hadir dalam lawatan berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Mohamad, Exco kerajaan negeri, Dr Izani Husin, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dato’ Zaini Husin.

Terdahulu Ahmad mendengar taklimat dari Pengarah PKRC Negeri Kelantan, Dr Mohd Azman Yaakob.

Menurut Dr Azman, Kelantan ketika ini telah membuka lima PKRC dengan PKRC terbaru dan terbesar adalah di Dewan Utama Kampus, HUSM yang akan beroperasi pada 3 mei 2021 dengan kapasiti 496 katil.

Sehingga 1 Mei 2021, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt bagi negeri Kelantan adalah 1.21 manakala untuk seluruh negara adalah 1.10.

Kelantan mencatatkan kes keseluruhan sebanyak 14,274 dan 33 kluster yang masih aktif.

“Sehingga kini seramai 150 orang ditempatkan di PKRC Jubli Perak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/5/2021

- Advertisement -