12,744 mohon sertai Bersatu di Sabah

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Badan Pimpinan Bersatu Sabah telah menerima 12,744 borang permohonan bagi menyertai parti itu di negeri ini, kata Ketuanya Datuk Hajiji Noor.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata borang permohonan itu diterimanya pada majlis ringkas selepas Mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini semalam.

- Advertisement -

“Dengan penyertaan mereka sudah tentu Bersatu Sabah akan bertambah kuat dan sekali gus diterima serta semakin mendapat tempat di hati rakyat. Saya mengalu-alukan penyertaan mereka.

“Bersatu kini berkembang mekar di Sabah, teras perjuangan kita adalah untuk rakyat dan memenuhi aspirasi mereka,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan Sabah Jaffari Waliam merupakan antara yang menyerahkan borang itu, dan menurutnya mereka yang menyerahkan borang terdiri daripada ahli badan bukan kerajaan Penggerak Komuniti Negara (PKN) di Sabah, yang juga bekas ahli PKR.

“Saya bersama 13 pengerusi dan ahli-ahli PKN Sabah termasuk di Libaran, Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Tenom, Keningau, Labuan dan Sipitang sepakat menyertai Bersatu,” katanya yang juga Pengerusi PKN Libaran menerusi kenyataan yang sama. – BERNAMA

- Advertisement -