Sepakat, saling percaya punca kekuatan MN Melaka

Foto daripada Facebook Ab Rauf Yusoh.
- Advertisement -

JASIN: Kesepakatan dan saling mempercayai adalah punca kekuatan hubungan antara Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional di Melaka.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kedua-dua pihak turut merancang untuk memperkasakan hubungan itu menerusi pelbagai program anjuran bersama yang melibatkan semua peringkat.

- Advertisement -

“Kita di Melaka, Umno dan PAS akan terus bersama. Suasana politik di sini mungkin tidak sama suasananya dengan negeri-negeri lain.

“Kesepakatan ini dilihat jauh lebih baik dengan membentuk satu kekuatan berdasarkan saling percaya mempercayai antara dua parti untuk teruskan muafakat ini di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Muafakat Nasional peringkat negeri di Serkam hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Pesuruhjaya PAS Melaka Datuk Kamarudin Sidek. – BERNAMA

- Advertisement -