Peniaga, pengunjung pasar Ramadan perlu patuhi SOP

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim menyeru para peniaga dan pengunjung Pasar Ramadan mematuhi segala garis panduan yang telah ditetapkan.

Menurutnya, beliau bersama pegawai dari Pusat Khidmat Parlimen Pendang turun padang ke pasar Ramadan Pendang yang terletak bersebelahan dengan mini stadium, petang semalam.

Katanya, kunjungan ke pasar Ramadan terbabit adalah untuk menyantuni para peniaga dan pengunjung di samping mengedarkan bubur lambuk yang disediakan oleh Pusat Khidmat Parlimen Pendang kepada para pengunjung dan peniaga.

Advertisement

Tambahnya, selain beramah mesra dan bertanyakan khabar, beliau juga turut memperingatkan agar setiap SOP yang telah digariskan oleh kerajaan mahupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu dipatuhi untuk menghalang dari merebaknya wabak pandemik Covid-19 yang sedang meningkat semula ketika ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumbar Manusia berharap para peniaga dan pengunjung berjual beli dalam keadaan yang lebih teratur dan selesa di samping mematuhi segala garis panduan yang telah ditetapkan.

“Sama-samalah kita membantu kerajaan dalam usaha untuk menghalang penularan wabak pandemik Covid-19 demi masa depan kita Bersama,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Sementara itu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lima daerah di Kedah selama dua minggu berkuat kuasa hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pelaksanaan PKP di Daerah Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim susulan berlaku penularan jangkitan melibatkan beberapa kluster yang menyumbang kepada peningkatan kes di kelima-lima daerah berkenaan. – HARAKAHDAILY 1/5/2021