Bubur lambuk PAS Bentong khas sempena Nuzul al-Quran

- Advertisement -

BENTONG: PAS Kawasan Bentong telah mengadakan program Masak Bubur Lambuk Perdana untuk diedarkan kepada penduduk setempat sempena Nuzul al-Quran di Surau Al-Falah, Kampung Batu 1, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Bentong, Muhammadin Mustafa, program ini merupakan antara platform terbaik mempromosikan PAS ke tengah masyarakat sebagai sebuah parti berkebajikan.

“Hampir setiap tahun dalam bulan Ramadan PAS Bentong mengadakan program masak bubur lambuk, cuma tahun ini kita ubah pendekatan dengan melaksanakannya serentak di Cawangan yang berminat mengadakannya,” ujarnya selaku pengarah program

Yang Dipertua PAS Bentong merangkap Ketua PAS Kuala Repas, Khairuddin Abdullah berkata, program seumpama ini perlu kerap diadakan kerana ia merupakan antara medium terbaik membina hubungan antara PAS dan masyarakat.

“PAS kini sudah jadi sebahagian daripada kerajaan dan kita perlu terus istiqamah menjalin ukhuwah, bekerjasama dengan masyarakat dan ini semua adalah syiar kita sebagai sebuah parti Islam yang mampu memimpin perpaduan,” ulas Khairuddin.

Beliau sendiri turut turun membantu Cawangannya menjayakan program ini apabila dilihat bergelumang di dapur melakukan kerja-kerja menyiap bahan masakan termasuk mengupas bawang.

Ketika kerja-kerja memasak dijalankan pada program kolaborasi PAS Cawangan Kampung Baru dan Kuala Repas/Chamang ini turut menerima kunjungi Ketua Penerangan Umno Bahagian Bentong, Dato’ Amizar Abu Adam.

“Terima kasih diucapkan kepada Dato’ atas kesudian datang melihat kami. Ziarah ini cukup istimewa dan memang tidak dirancang menunjukkan tanda kebersamaan antara kedua-dua parti ini walau di mana mereka berada,” ucap Khairuddin. – HARAKAHDAILY 1/5/2021

- Advertisement -