Keputusan pemansuhan UPSR adalah tepat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Pendidikan PAS menyambut baik serta menyokong keputusan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin baru-baru ini.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Dr Fadzli Hassan berkata, keputusan berkenaan telah memperlihatkan komitmen KPM melaksanakan transformasi sistem pendidikan yang lebih realistik dan berkesan sesuai dengan perkembangan semasa dan suasana negara hari ini.

Oleh itu, ujarnya hal yang perlu pihak KPM memberikan keutamaan selepas pemansuhan UPSR ini adalah pemerkasaan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum  (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

- Advertisement -

Sehubungan itu, katanya Lajnah Pendidikan ingin menyarankan kepada pihak KPM agar dapat menyediakan bahan rujukan, struktur serta piawai soalan-soalan pentaksiran yang menepati silibus pelajaran kepada guru pentaksir supaya murid berkenaan benar-benar menguasai kandungan pelajaran mereka pada tahap tertentu.

Selain itu, tambah beliau KPM juga perlu membuat pemantauan secara berterusan tentang praktik kaedah PBS supaya pelaksanaan pentaksiran berkenaan mencapai tahap dan sasaran yang dikehendaki oleh pihak kementerian seperti mewujudkan jadual atau penyataan tarikh penting bagi aktiviti pentaksiran.

Beliau berkata, pihak KPM juga perlu sedia memberikan bimbingan atau kursus tertentu seperti latihan pembinaan modul set soalan, aturcara pemarkahan atau membuat penilaian mengikut jenis pentaksiran seperti yang dikehendaki oleh pihak KPM supaya objektif pelaksanaan PBS itu tercapai.

“Perkara yang perlu menjadi perhatian pihak KPM juga adalah pelaksanaan PBS dalam talian, sekiranya murid-murid tidak hadir ke sekolah.

“Hal ini mustahak kerana negara ini masih berdepan dengan suasana penularan wabak Covid-19 yang memungkinkan ketidakhadiran murid ke sekolah,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, sesungguhnya pemansuhan UPSR melegakan banyak pihak termasuklah warga pendidik dan pentadbir sekolah yang tertekan untuk mengejar status sekolah cemerlang.

“Anak-anak murid pula tidak terasa terasing, rendah diri atau merasa diri kelompok kedua apabila gagal mendapatkan ‘A’ dalam semua matapelajaran,” katanya yang juga Exco Kerajaan Kelantan

Bahkan, ujarnya ibu ayah juga senang menerima keputusan penilaian anak berasaskan kebolehan kendiri anak masing-masing.

Sebelum daripada ini, ujarnya anak-anak UPSR dan ibu bapa begitu sibuk memikirkan hal peperiksaan anak mereka sehingga masyarakat alpa tentang ‘kepentingan kemenjadian pelajar’ seperti kecintaan ilmu, amalan suruhan agama, berkeperibadian mulia, sahsiah, jati diri, hubungan sosial pelajar dan keperihatinan terhadap alam sekitar.

Ini, tambahnya adalah kerana amalan sistem pendidikan yang ada lebih kepada exam oriented, yang akhirnya semua pihak tertumpu kepada hasil keputusan ujian tanpa melihat kepada pendidikan dalaman nilai budi, akhlak dan bakat.

Tambahnya, tidak dinafikan juga bahawa terdapat beberapa sektor terkesan dari dasar ini antaranya sektor tusyen, industri buku berkaitan dan sektor sekolah persendirian yang tidak ada kelengkapan PBS.

Namun begitu, kata beliau keputusan KPM memansuhkan UPSR pada ketika ini adalah tepat kerana sudah sampai masa pihak kementerian berbuat demikian demi kelangsungan transformasi pendidikan negara, bak kata pepatah peribahasa melayu ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’. – HARAKAHDAILY 30/4/2021

- Advertisement -