Jangan jadi budaya sebar berita tidak benar

Ustazah Nuridah Mohd Salleh
- Advertisement -

KOTA BHARU: Aspek penyampaian atau penyebaran sesuatu maklumat atau berita yang tidak benar seharusnya tidak dibudayakan dan mesti dijauhi.

- Advertisement -

Menurut Ketua Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Senator Nuridah Mohd Salleh, dalam apa jua keadan dan desakan setiap pihak perlu berpegang teguh dengan prinsip kebenaran yang diajar dalam Islam.

“Benar adalah sifat mahmudah yang juga sikap para nabi. Benar dalam berkata-kata, benar dalam tindakan dan pemikiran.

“Benar akan membawa keberuntungan terhadap individu, masyarakat serta negara,” ujarnya.

Malah katanya, semua pihak juga perlu mengambil serius dalam menyampaikan setiap berita yang boleh merosakkan sebaliknya menyebar dan menyiarkan maklumat yang tepat tanpa sebarang fitnah agar masyarakat akan lebih tenang dan tidak berpecah belah serta bermusuh.

Terdahulu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan agar dalam menerima atau menyebarkan apa-apa maklumat hendaklah berhati-hati, kerana ada berita daripada orang fasiq atau orang jahil yang boleh menyesatkan dan merosakkan manusia.

Katanya, golongan fasiq ialah mereka yang tidak berpegang kepada agama dan moralnya sangat rapuh sehingga tidak bermaruah dan boleh melakukan apa sahaja termasuk menyebarkan berita bohong atau fitnah.

Sekalipun sesuatu berita yang disebarkan itu adalah berita benar, akan tetapi apabila disampaikan secara tidak lengkap, ia tetap akan merosakkan penerimanya dengan segera atau pada bila-bila masa, malahan terhadap dirinya sendiri atau sesiapa sahaja, katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2021

- Advertisement -