Muslimat kumpul dana zakat bantu golongan asnaf

- Advertisement -

KOTA BHARU: Muslimat PAS dan Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Kelantan (PURNAMA) mengambil inisiatif mengumpul zakat sesama mereka untuk diagih kepada penduduk miskin.

Adun Bunut Payong, Dato’ Dr Ramli Mamat berkata, dana zakat yang diusahakan Muslimat PAS Bunut Payong diagih kepada seramai 145 penduduk miskin.

Manakala seramai 15 lagi menerima sumbangan yang diberikan PURNAMA.

- Advertisement -

“Pungutan zakat itu dalam kalangan ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Dun Bunut Payong. Sumbangan yang diberi oleh PURNAMA pula membabitkan penerima yang tidak mendapat zakat.

“Ini bermakna seramai 160 orang asnaf di Dun Bunut Payong menerima sumbangan dan zakat hasil inisiatif PURNAMA,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut hari ini.

Program sumbangan dan zakat itu diadakan di Pusat Pembagunan Wanita Kelantan (PPWK), Bunut Payong Lorong Sri Andam.

Turut hadir sama Ketua Muslimat PAS Bunut Payong Suhana Hussin dan Pengerusi PPWK, Wan Anita Mohd Amin. Pada majlis itu setiap penerima diberi wang tunai RM100.

Sementara itu Bendahari PURNAMA Datin Hariza Yusoff berkata, program tersebut merupakan aktiviti tahunan NGO terbabit yang diadakan setiap Ramadan.

Katanya, program tersebut diadakan bagi menyantuni dan mengagihkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

“Ia secara tidak langsung menjadi platform membantu dan meringankan beban penduduk yang memerlukan bantuan sempena Ramadan,” ujarnya.

Beliau turut berharap menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama setiap anggota masyarakat perlu menjaga SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian Covid-19. – HARAKAHDAILY 29/4/2021

- Advertisement -