PAS ucap tahniah kepada PDRM tumpas Geng Nicky

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan tahniah kepada kontinjen Polis Johor diketuai Datuk Ayob Khan yang telah berjaya menumpaskan sindiket jenayah terancang Geng Nicky.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, hakikatnya bukan perkara mudah untuk menumpaskan sindiket melibatkan pegawai atasan tetapi PDRM berjaya melakukan.

Tambahnya, sungguh mendukacitakan bilamana pegawai yang diberikan tanggungjawab untuk menjaga negara tetapi mereka yang merosakkannya.

- Advertisement -

Dilaporkan dalam serbuan besar-besaran Ops Pelican 3.0 Fasa 2, sepuluh pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjadi tali barut penjenayah telah berjaya ditumpaskan. Siasatan masih diteruskan bagi menahan saki-baki individu yang terlibat.

“Kejayaan demi kejayaan telah dicipta PDRM, SPRM, ATM dan barisan pihak berkuasa dalam membanteras jenayah terancang dalam negara ini.

“Mereka menjadi benteng kepada seluruh rakyat dalam menjaga keamanan negara,” ujar Kamaruzaman dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengambil contoh, sebanyak 394 sindiket dadah yang melibatkan 1537 individu telah berjaya ditumpaskan sejak tahun lalu sehingga Mac 2021, manakala dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI), ATM berjaya merekodkan sebanyak 35 peratus pengurangan sejak Op Benteng bermula Mei tahun lepas.

Justeru, ujar beliau, PAS berharap rekod cemerlang barisan hadapan negara dapat diteruskan selari dengan peranan yang dipertanggungjawabkan bagi menjaga keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.

“PAS juga sebagai komponen kerajaan Perikatan Nasional sentiasa berusaha untuk terus meningkatkan kualiti kerja seluruh agensi kerajaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/4/2021

- Advertisement -