#QuranHour gelombang buka mata masyarakat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program #QuranHour menjadi satu gelombang fenomena yang memberi aura baharu dalam membuka mata masyarakat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mengajak orang ramai untuk sama-sama membedah al-quran.

“Al-quran ini perlu dibedah, dihayati, difahami dan amalkan untuk melahirkan masyarakat yang cinta kepada al-Quran.

- Advertisement -

“Saya harapkan ini menjadi satu gelombang bukan sahaja di dalam negara kita malah menjadi satu fenomena yang besar di seluruh dunia.

“Kita mengharapkan satu jam saja, tetapi kalau boleh setiap saat, setiap hari. Malah sekarang kita berada di bulan Ramadan, bulan Allah turunkan al-Quran, jadi kita semarakkan ia dengan al-Quran,” katanya.

Menyambut baik program seumpama ini katanya, beliau akan mempromosikan program ini kepada seluruh institusi-institusi di bawah KPWKM.

“Semua institusi kita akan disemarakkan dengan program ini untuk sama-sama memberi sokongan,” katanya pada satu sesi temubual bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, pelbagai cara turut diadakan untuk menyemarakkan program #QuranHour itu.

“Buat pertama kali, pelancaran secara rasmi di Dewan Nur di kementerian akan pancarkan kepada agensi-agensi dan institusi di bawah kita.

“Selain itu Facebook live dan program-program, kita juga akan membudayakan al-Quran di kementerian, di samping mengalunkan bacaan al-Quran di lobi utama, kita wujudkan ‘Quran Corner’ di lobi utama untuk memudahkan pelanggan untuk sama-sama membaca al-Quran,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyertai Program World #QuranHour pada 6 Mei ini boleh mengikuti program itu yang akan bersiaran secara langsung dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya di Astro Oasis dan Tv Al-Hijrah. – HARAKAHDAILY 28/4/2021

- Advertisement -